fbpx

FGV bakal nikmati penjimatan RM1.5 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penamatan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) antara Felda dengan FGV Hol­dings Bhd. (FGV) dijangka memberi penjimatan sehingga RM1.5 bilion kepada FGV.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, sekiranya perjanjian itu dimeterai, komitmen tahunan sebanyak RM1.5 bilion itu bakal meningkatkan aliran tunai sekali gus pinjaman pembiayaan akan le­bih positif.
Menurut beliau, jumlah RM1.5 bilion itu merupakan kos operasi FGV yang melibatkan RM300 juta untuk penanaman semula, RM300 juta (pembajaan), RM270 juta (kos perumahan pekerja) dan RM590 juta kos upah.
Walau bagaimanapun, menurutnya penamatan perjanjian LLA itu hanya dapat diselesaikan dalam tempoh 18 bulan selepas notis dikeluarkan.
“Daripada aspek pengurusan perniagaan (selepas penamatan LLA) sememangnya ia akan menjadi lebih kecil kerana FGV mempunyai segmen gula dan pengangkutan, tetapi perlu diingatkan bahawa kami masih mempunyai 80,000 hektar tanah bukan LLA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi suku kedua bagi tahun kewangan 2020 FGV di sini semalam.
Haris Fadzilah menerangkan, sekiranya Felda menamatkan LLA, perjanjian tersebut hanya melibatkan tanah.
FGV kini masih mempunyai 68 kilang pemprosesan sawit.
“Kami masih mempunyai kilang yang akan menerima buah sawit tetapi kami tidak lagi perlu mengeluarkan perbelanjaan mengurus tanah, penanaman semula dan juga gaji pekerja.
“FGV akan menjadi seperti kilang pihak ketiga sekali gus boleh memberi tumpuan kepada peningkatan kadar perahan mi­nyak (OER) bagi memastikan kecekapan kos,” jelas beliau.
LLA yang bermula sejak 2012 sejajar dengan prospektus ­penyenaraian FGV di Bursa Malaysia itu adalah untuk tempoh selama 99 tahun merangkumi 355,000 hektar tanah.
Di bawah terma semasa LLA yang boleh dirunding semula pada setiap 20 tahun, FGV perlu membayar yuran pajakan tetap berjumlah RM248 juta di sam­ping 15 peratus keuntungan ha­sil ladang kepada Felda.
Haris Fadzilah berkata, perjanjian LLA itu disifatkan tidak memberi apa-apa makna kepada FGV memandangkan pada hakikatnya syarikat tersebut tidak memiliki tanah berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI