fbpx

Lima lelaki ditahan jual senjata api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Senjata api yang dirampas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Perak Tengah dalam beberapa serbuan di Perak Tengah, Gemas dan Segamat antara 17 hingga 21 Ogos lalu.

Oleh SHAARANI ISMAIL

SERI ISKANDAR – Lima lelaki ditahan polis selepas didapati memiliki serta melakukan urusniaga berkaitan senjata api secara tidak sah dalam beberapa serbuan berasingan dekat sini dan dua lokasi lain antara 17 hingga 21 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso, berkata serbuan pertama dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian D4, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sebuah bengkel kimpalan di Kampung Nasarudin, Jalan Tronoh dekat sini kira-kira jam 1 tengah hari.

“Hasil serbuan, polis menahan dua lelaki berusia 29 dan 41 tahun di dalam bengkel berkenaan dan menemui dua laras senapang angin buatan sendiri.

“Pemeriksaan selanjutnya kemudian dibuat ke atas sebuah van yang berada dalam bengkel tersebut dan menjumpai satu beg hitam yang mengandungi selaras senjata ‘pump gun’ jenama ARAL bersama dua butir peluru penabur 12 bore,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Barudin berkata, berikutan tangkapan dua lelaki terbabit, polis kemudian melakukan serbuan susulan di beberapa lokasi di Perak Tengah; Gemas, Negeri Sembilan dan Segamat, Johor serta berjaya melakukan tangkapan terhadap tiga lagi lelaki berusia antara 33 hingga 59 tahun yang dipercayai terlibat dalam urusan dan pemilikan ketiga-tiga senjata api yang dirampas.

Katanya, lelaki ketiga ditahan di Perak Tengah pada 19 Ogos manakala lelaki keempat dan kelima ditahan di Gemas, Negeri Sembilan dan Segamat pada 21 Ogos.

“Semua senjata api dan peluru yang dirampas dihantar ke Bahagian Persenjataan untuk analisa dan ujian.

“Semua yang ditahan kini direman untuk siasatan lanjut termasuk menyiasat dari mana senjata api dan peluru yang dirampas itu diperolehi dan dimiliki secara tidak sah serta menyalahi undang-undang,” katanya.

Katanya, dua lelaki yang ditahan pada 17 Ogos direman selama lima hari bermula 18 Ogos hingga hari ini manakala tiga lagi direman antara empat dan lima hari sehingga 25 Ogos ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.  -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI