fbpx

Dolak-dalik acara ‘wajib’ dunia artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

 

“Jadi sepanjang menunggu tarikh 15 Ogos, kami terpaksalah berdolak-dalik kepada semua pihak.”

Pengakuan itu terbutir daripada bibir si pelantun single Boneka yang kini rancak mempesona peminat dunia muzik tanah air.

Video muziknya yang seiring konsep judul lagu itu juga bukan dibikin sekadar memenuhi kelaziman kehadiran sesebuah single, bahkan lebih tepat lagi menyempurnakan lagi maksud boneka itu sendiri.

Terlanjur seketika bercakap tentang boneka, penulis teringat lirik yang ada perkataan,… ‘aku bukan boneka yang sering kau lakukan semahunya’…nyanyian Dia Fadila bertajuk Aku Masih Setia suatu ketika dahulu.

Boneka dalam versi Ernie Zakri pula berbunyi: “Bukan boneka…seperti apa yang engkau inginkan.”

Boneka juga bermaksud patung atau figura tidak bernyawa berupa manusia atau haiwan atau benda-benda lain yang dianimasikan atau dimanipulasikan.

Selalunya, istilah boneka kerap dituturkan apabila ada kes-kes licik melibatkan percintaan atau politik.

Siapa yang pernah rasa jadi seperti boneka atau ‘membonekakan’ pihak lain pasti faham maksud penulis.

Tidak mahu pergi jauh tentang makna di sebalik Boneka, penulis mahu kembali mengajak pembaca ke perenggan pertama penulisan ini.

Kata-kata tersebut ialah pengakuan rasmi daripada Ernie Zakri yang selama ini dia banyak berdolak-dalik setiap kali wartawan bertanyakan kesahihan hubungannya dengan penyanyi Syamel.

Alih-alih pada 16 Ogos lalu, Ernie berkongsi gambar-gambar pertunangannya dengan Syamel.

Kisah Ernie dan Syamel sebenarnya, setitik daripada segudang dolak-dalih yang sering berlaku. Sebagai pengamal media, jawapan berdolak-dalik sebenarnya sudah menjadi makanan ruji demi kesesuaian semasa.

Kisah dolak-dalik antara paling epik dan kelakar ialah sewaktu mahu mendapatkan kesahihan acara akad nikah pelakon Zizie Ezzette dengan ahli politik, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sebelum pernikahan, rata-rata wakil media yang cuba mendapatkan pengesahan mereka bernikah gagal.

Bukan sahaja Bung yang mengakui ‘tidak cukup handsome’ untuk Zizie dan Khaty Fauziah (ibu Zizie) yang konon-kononnya langsung tidak tahu-menahu tentang rancangan pernikahan anak gadisnya, hampir membuatkan wartawan hiburan tergelak menahan geram. Tahu-tahu sahaja, mereka sudah kahwin.

Bukan mengungkit atau terkilan jauh sekali terasa hati tetapi itulah lumrah dunia seni yang berlaku.

Wartawan hiburan pasti masih ingat kekecohan yang berlaku ketika Norman Hakim mahu menyembunyikan detik pernikahannya dengan Abby Abadi.

Tidak berterus-terang demi privasi atau menjaga hati sesetengah pihak, itu alasan paling kerap yang diberitahu setiap artis.

Pada akhirnya, apa jua yang keluar di mulut artis terutama kisah nikah, cerai, putus tunang atau sedang ingin bercinta, kami wartawan (hiburan khususnya) sedia menadah telinga mendengar dolak-dalik kalian.

Sebabnya, bukankah jika dalam konteks bersangka baik, dolak-dalik itu wajib.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN