fbpx

9 lelaki ditahan, polis rampas air dan daun ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara peralatan, air, daun ketum dan kereta yang dirampas polis dalam serbuan di Jalan Balau 17, Taman Rinting, Masai petang semalam.

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Sembilan individu termasuk dua penjawat awam diberkas bersama lima kilogram (kg) daun ketum dalam serbuan di sebuah pondok Blok S di Jalan Balau 17, Taman Rinting, Masai di sini petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.45 petang itu, suspek yang ditahan terdiri daripada lelaki dewasa berusia antara 22 hingga 57 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Mohd. Afzanizam Yahaya berkata, daun ketum ditemui di dalam bonet kereta Proton Iswara berdekatan dengan pondok kawasan perumahan terbabit.

“Siasatan lanjut membawa kepada penemuan 16.40 liter air ketum yang disimpan di dalam sebuah tong ais batu di stor blok yang sama.

“Polis seterusnya menemui peralatan dapur memasak yang disyaki untuk memproses air ketum di sebuah rumah blok yang sama dan kegiatan ini beroperasi sejak setahun yang lalu,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Afzanizam berkata, ujian air kencing mendapati mereka negatif sebarang jenis dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Dalam operasi berasingan, beliau memberitahu JSNJ Johor melakukan serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di sekitar Johor Bahru pada pukul 1.30 hari ini dan melakukan pemeriksaan ke atas 21 pengunjung.

Katanya, dua daripada mereka termasuk seorang remaja bawah umur ditahan selepas positif dadah jenis methamphetamine.

“Kita juga menahan seorang wanita yang mengaku sebagai pengurus premis hiburan itu selepas gagal mematuhi syarat lesen perniagaan dengan menjual minuman keras.

“Premis itu juga didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal selain gagal mematuhi prosidur standard operasi (SOP),”katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI