fbpx

Prestasi kewangan MSM Malaysia semakin pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Prestasi kewangan MSM Malaysia semakin pulih bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020 seiring dengan penurunan dalam kerugian bersih secara berturut-turut sejak suku keempat 2019.

Secara progresif bagi suku kedua, syarikat pengeluar gula terbesar itu mencatat penurunan dalam jumlah kerugian sebanyak 68 peratus kepada RM21.55 juta bagi suku kedua tahun ini berbanding RM67.33 juta suku yang sama tahun sebelumnya.

Hasil keseluruhan bagi separuh pertama tahun ini adalah sebanyak RM959.58 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, penurunan dalam jumlah kerugian adalah susulan daripada penambahbaikan dalam kos-kos pengeluaran di kilang penapisan baharu, MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd. termasuk peningkatan dalam kadar penggunaan (UF) kepada 23 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 19 peratus suku yang sama tahun lepas.

“Pertumbuhan yang memberangsangkan dalam permintaan pasaran eksport baharu serta purata harga jualan (ASP) yang terus kukuh juga menyumbang kepada hasil kumpulan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Khairil Anuar menerangkan, di sebalik 10 peratus penurunan dalam jumlah jualan domestik berban­ding suku pertama tahun lalu, ASP bagi segmen pemborong dan industri meningkat masing-masing sebanyak lapan peratus dan dua peratus.

“Peningkatan jumlah jualan bagi segmen eksport yang dipe­ngaruhi premium lebih tinggi berbanding tahun lepas telah dianggarkan menyumbang sebanyak RM70 juta kepada hasil kumpulan bagi suku pertama.

“Sehingga kini, MSM telah memperoleh eksport produk gula sebanyak 200,000 tan sehingga penghujung tahun ini.

“Syarikat menyasarkan untuk meningkatkan jumlah jualan serta produk-produk eksport bagi tahun kewangan 2020 selaras dengan nilai premium yang tinggi,” terangnya.

Khairil Anuar menjelaskan, jumlah jualan domestik menurun disebabkan waktu operasi terhad dan penutupan sementara perniagaan pelanggan Ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

Sehubungan itu, penghantaran jualan seperti yang disasarkan pada musim sambutan Ra­madan dan perayaan Aidilfitri telah terkesan.

“Syarikat telah mengambil pendekatan strategik untuk kekal kompetitif walau berhadapan cabaran, di samping berge­rak ke arah pemulihan,” ujarnya.

Tambah beliau, MSM sedang mengatur strategi untuk mempertingkatkan kualiti produk-produk dan rantaian bekalan serta memperkukuhkan margin jualan.

MSM telah melancarkan va­rian pemanis baharu di bawah jenama Premium Prai.

Rangkaian produk baharu Go 1/2 dan GoNatura akan memberi pilihan buat pengguna untuk mengawal pengambilan gula dalam pemakanan.

Ini dibuat tanpa menghilangkan rasa manis melalui produk gula yang dicampur bersama sukralosa berkalori rendah dan stevia.

Selain itu, MSM juga bakal memperkenalkan bungkusan terbaharu produk Gula Prai yang akan berada di pasaran hujung bulan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI