fbpx

Pembantu rumah curi barang kemas majikan dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis merampas wang tunai berjumlah RM10,000 dipercayai hasil jualan barangan kemas yang dijual suspek.

PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita warga tempatan mencuri dan menjual barangan kemas milik majikannya akhirnya memakan diri selepas dia ditahan dalam satu serbuan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya menerima laporan daripada majikan suspek yang merupakan wanita tempatan berusia 57 tahun pada 16 Ogos lalu memaklumkan tentang kehilangan barangan kemas miliknya.

“Mangsa memaklumkan, barangan kemas yang disimpan di dalam laci di biliknya telah hilang dan mengesyaki ia dicuri oleh pembantu rumahnya sendiri.

“Mangsa mengesyaki suspek selepas menemui resit pembelian emas baharu di dalam bilik pembantu rumah itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nik Ezanee, sapasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya kemudiannya telah melakukan serbuan di sebuah rumah di Seksyen 51A di sini dan menahan pembantu rumah berusia 39 tahun itu.

“Suspek kemudiannya mengaku terlibat dalam kes curi tersebut dan memaklumkan telah menjual barangan kemas milik majikannya itu di sebuah kedai emas di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

“Pihak polis turut merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM10,000 yang dipercayai hasil baki daripada barangan kemas yang dijual oleh suspek,” jelas beliau.

Tambah beliau, suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun termasuk denda. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI