fbpx
Ayob Khan (dua kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Johor hari ini.

Geng Halim tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kegiatan satu sindiket dikenali Geng Halim mengedar dadah sejak awal tahun lalu tumpas apabila 23 ahlinya diberkas polis menerusi 22 siri serbuan di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pontian dan Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan itu dilakukan menerusi operasi khas ke atas sindiket pengedaran dadah antara 11 hingga semalam.

Menurutnya, kesemua suspek yang diberkas terdiri daripada 17 lelaki tempatan termasuk ketua sindiket yang dikenali Halim, empat wanita tempatan serta masing-masing seorang wanita Indonesia dan Vietnam.

“Dalam serbuan itu juga kita berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk 14.03 kilogram (kg) ganja, heroin (6.84kg), syabu (1.58kg), ketamin (44.31 gram) dan 400 biji pil yaba bernilai RM170,052.

“Kita juga merampas pelbagai barang berharga antaranya barang kemas bernilai, 16 buah kenderaan, enam buah motosikal (RM64,000) serta wang tunai dengan jumlah sitaan keseluruhan RM558,094,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Revolver bersama sembilan butir peluru.

Jelasnya, dalam operasi itu, polis turut mengesan modus operandi baharu yang digunakan suspek yang mana ahli sindiket membungkus ganja mampat seperti bentuk coklat kecil.

Katanya, sindiket akan memasarkan dadah terbabit melalui tahanan reman di salah sebuah pusat tahanan reman di negeri ini.

“Apabila ahli keluarga Orang kena tahan (OKT) datang jumpa, masa inilah sindiket akan edar dadah kepada OKT.

“OKT akan menelan dadah berkenaan sebelum membuang air besar dan mereka akan mencuci najis tersebut lalu menggunakan dadah berkenaan,”katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapat sindiket ini mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di Indonesia dan bekalan diperolehi dari Kuala Lumpur dan transit di negeri ini sebelum diedarkan melalui pantai barat Johor.

Katanya, hasil saringan urin mendapati 19 daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Suspek ditahan reman selama 14 hari bermula semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,”katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN