PADA rembang petang tempoh hari, pemilik nama penuh Muhammad Amir Sabaruddin itu menggayakan sepersalinan lengkap jenama pakaian antarabangsa, Puma dengan rambut panjangnya diikat kemas ke belakang.
Jejaka dengan nama pentasnya Ben Amir itu hadir ke tayangan perdana filem Astro First, Aku, Bunga yang mula ditayangkan sejak 13 Ogos lalu. Dalam filem arahan Kabir Bhatia itu, dia bergandingan dengan pelakon baharu, Bunga dengan Naim Danial.
Ketika temu bual, satu perkara utama yang perlu dirungkaikan antara Ben dengan rakan media berkisarkan sikap dinginnya baik dari segi komunikasi atau kerjasama dengan media seperti didakwa segelintir wartawan.
Dilabel mula ‘besar kepala’, sombong dan sukar untuk didekati sekiranya timbul sebarang isu melibatkan namanya atau perlukan jawapan daripada bibirnya.
“Terlebih dahulu, saya minta maaf kalau ada sesiapa yang terasa, namun saya sedar memberi kerjasama kepada media ialah satu keperluan apabila menjadi seorang anak seni.
“Beginilah, saya memang seorang tidak suka berkongsi terlalu terperinci soal peribadi. Tujuan saya masuk industri memang untuk berlakon sahaja. Insya-Allah, selepas sudah tahu hal ini, saya akan perbaiki kelemahan dan perkara yang terlepas pandang,” katanya kepada HibGlam! baru-baru ini.

Sukar didekati
Terlanjur berdebat tentang dakwaan kononnya susah didekati, Ben, 30, mempunyai ‘perisai’ sendiri sebagai jawapan untuk tanggapan sedemikian.
“Rasanya isu ‘sukar didekati’ mungkin timbul setelah saya balik dari Scotland. Ketika itu, saya perlukan masa untuk pulih selepas menjadi suspek wabak Covid-19.
“Selain itu, saya rasa pihak yang cuba mendekati saya macam biasa sahaja. Mungkin ada yang terlepas pandang kerana sejujurnya, mesej yang diterima menerusi WhatsApp ada beribu-ribu.
Kadang-kadang tidak terbaca oleh saya,” jawab Ben melonjak popular usai membintangi drama rantaian Sweet Dreams bersama Mira Filzah.
Meminta lebih perincian daripadanya, Ben turut meluahkan, sebagai insan biasa, dia juga mempunyai hati dan perasaan sekiranya tidak dilayan selayaknya.
“Saya juga manusia biasa seperti orang lain. Kalau didekati secara baik, saya balas baik. Kalau orang itu bersopan-santun, saya lagi dua kali bersopan-santun.
“Kita ini orang Malaysia, kaya dengan budi bahasa. Jangan main terjah sahaja kerana untuk satu perkara dirungkai perlukan kerjasama baik daripada dua belah pihak,” ujar Ben.
Kedengaran ‘sedikit’ dingin, namun itulah hakikatnya. Ben melanjutkan bicara dengan berkata, kalau orang tidak suka dengan caranya, dia tidak boleh berbuat apa-apa.
“Macam saya cakap berulang kali, saya masuk industri ingin menonjolkan bakat sebagai pelakon. Kalau orang tidak suka dengan cara saya, saya tidak boleh buat apa.
“Saya juga tiada kemampuan untuk menutup mulut orang dan saya tidak boleh puaskan hati semua orang. Mereka ingin kata apa, terpulang. Tetapi orang yang kenal saya, mereka tahu saya jenis macam mana,” tuturnya.

Sambal PKP
Diajak berbicara tentang perkembangan seni, Ben berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwartakan bermula Mac, dia langsung tidak menerima tawaran lakonan.
Alasannya, dia sendiri terpaksa menolak tawaran kerana akur dengan pandemik yang menyerang bukan sahaja di Malaysia, bahkan seluruh dunia.
Namun, hikmahnya, Ben dapat memberikan sedikit tumpuan terhadap perniagaan kecil-kecilan, Sambal Budak Camping yang diusahakannya.
Kata Ben, dia memilih nama sedemikian sempena hobinya yang berkhemah, sementelah sambal tersebut merupakan resipi asli keluarganya.
“Saya percaya semua orang terkesan ketika PKP dan sekarang adalah masa untuk pulih. Sebenarnya, saya melihat tempoh PKP dari sudut positif. Saya boleh fokus dan tumpukan perhatian untuk merancakkan perniagaan sambal ikan bilis iaitu Sambal Budak Camping.
“Ini merupakan resipi turun-temurun keluarga saya. Saya letak nama Sambal Budak Camping sebab saya suka pergi berkhemah. Pergi berkhemah kalau boleh nak bawa makanan yang mudah dan boleh dimakan dengan semua benda,” katanya.
Menjawab tentang harga sambal berkenaan yang sedikit mahal, Ben menjelaskan, sambal tersebut dijual mengikut ukuran gram justeru harganya lebih mahal berbanding jenama lain.
“Saya jual ikut jumlah gram dalam botol. Kalau tengok kandungan beratnya memang sambal saya paling besar dan berat.
“Kebanyakan peniaga jual sekitar 180 gram. Saya jual pada harga RM26 untuk 280 gram, iaitu dua kali ganda dan sudah tentu harganya dua kali ganda juga. Bagi saya, perkara ini tiada masalah pun. Kalau ikut gram, sambal saya jual masih murah,” getusnya.
Alang-alang menyentuh sisi peribadi, Ben diusik tentang khabar angin percintaanya dengan pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha. Kata Ben, status mereka tidak lebih sekadar kawan baik.
“Saya dengan Daiyan hanya kawan. Mungkin orang fikir kami semakin rapat kerana tidak lama lagi kami akan terlibat dalam sebuah projek bersama.

Daiyan, botak
“Kalau orang tanya saya tentang cinta, buat masa sekarang, memang tiada apa-apa perkembangan,” katanya ringkas.
Kembali bercerita tentang karier, Ben mengakui momentunnya agak menurun biarpun pernah memanas menerusi Sweet Dreams.
Mengakui situasi tersebut banyak dipengaruhi serangan Covid-19, sementelah hampir enam bulan dia ketiadaan tawaran pekerjaan.
“Waktu itu mungkin rezeki saya dapat bekerja dengan produksi, pengarah dan rakan pelakon yang semua hebat-hebat belaka,” jelasnya.
Sedikit tentang imej, ternyata hero Sweet Dream itu bersedia mengorbankan gaya rambut panjangnya jika menerima tawaran berbaloi.
“Kalau produksi mahu saya botakkan kepala pun saya sanggup tetapi perlu pastikan karya itu berbaloi dilakonkan. Saya tiada masalah untuk korbankan rambut ataupun membotakkan kepala asalkan ceritanya bagus,” tutup Ben.















