fbpx

Pavithra diperintahkan hantar surat tarik pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pavithra hadir bersama anak bongsunya di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

IPOH – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan YouTuber masakan, S. Pavithra, 28, untuk menghantar surat rasmi bagi menarik balik pertuduhan terhadap suaminya, M. Sugu, 29, berhubung kes pukul.

Hakim Norashima Khalid mengeluarkan perintah berkenaan pada sebutan semula kes mendatangkan kecederaan yang dihadapi Sugu terhadap isterinya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi memaklumkan kepada mahkamah bahawa Pavithra mahu menarik balik kes berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 September depan sebagai sebutan semula kes.

Peguam bela, S. Sundarajan mewakili Sugu pada sebutan semula kes hari ini.

Mengikut pertuduhan, Sugu didakwa mendatangkan kecederaan pada bibir, pipi kiri dan lengan kanan Pavithra menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini antara pukul 4 petang hingga 5 petang 21 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika didapati bersalah.

Norashima turut menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis tiger di parkir HRPB di sini pada pukul 6 petang hari sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Sugu yang hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja kelabu dan berseluar hitam itu kelihatan gembira selepas keluar dari mahkamah.

Pavithra turut dilihat berada di pekarangan mahkamah bersama anak bongsunya untuk memberikan sokongan terhadap Sugu. – K!ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI