MENERIMA jolokan si ratu TikTok dan bintang media sosial, Leona Azhar selesa menjadi diri sendiri dalam ruang maya. Populariti yang diraih dengan jutaan pengikut menjadikan gadis belasan tahun itu antara pemilik akaun TikTok paling ramai pengikut di Malaysia. Berbapakan selebriti popular ternyata memberi impak yang besar kepada gadis bernama Kasih Iris Leona Azhar.
Melihat akses di tangannya, gadis yang mesra dibahasa Leona itu miliki jalan pintas ke arus perdana dunia hiburan.
Merupakan anak bongsu kepada aktor Azhar Sulaiman, Leona mula menarik perhatian peminat industri apabila Azhar memuat naik gambarnya bersama pasangan kembarnya, Andika Rees Pahamin dalam Instagram sekitar pertengahan tahun lalu.

Sejak dari situ, setiap perkembangan yang dikemas kini menerusi akaun peribadi Instagram Leona, mula menjadi topik panas yang dibincangkan pengikut bapanya.
“Saya pernah memberitahu daddy (panggilan kepada Azhar) supaya berhenti memuat naik gambar saya dalam laman Instagramnya kerana saya tidak tahan diserang peminat dia.
“Saya cuma mahu berseronok dalam media sosial seperti remaja lain tetapi kerana saya anak Azhar Sulaiman, masyarakat mengkritik segala tindak tanduk saya,” luahnya membuka bicara sewaktu sesi fotografi eksklusif bersama Pose di kediaman keluarga Leona di Sungai Penchala, Damansara baru-baru ini.

Pengikut sendiri
Di sebalik hakikat bergelar anak kepada pelakon popular Azhar Sulaiman, gadis itu sudah memiliki kelompok peminat tersendiri dalam platform TikTok yang kini menjadi medium media sosial kegilaan dunia.
Berjaya mengumpul pengikut sebanyak 2.6 juta di akaun TikTok @leonsmeons, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas ini turut ditawarkan peluang berlakon di samping Syafiq Kyle kerana populariti yang diraih.
Namun dia menolak tawaran tersebut dengan baik. Alasan yang diberi, tarikh penggambaran drama berkenaan bertembung dengan tarikh dia memulakan pengajian di Sunway College dalam kursus Canadian International Matriculation Program.
“Mungkin bagi sesetengah orang, saya menolak tuah tetapi keutamaan saya sekarang ialah pelajaran. Bagi saya, tawaran seperti lakonan atau menjadi selebriti media sosial sekadar hobi.
“Tidak dinafikan hobi saya ini mendatangkan duit poket yang lumayan tetapi ini bukan sesuatu yang saya mahukan sebagai kerjaya. Sekurang-kurangnya bukan sekarang,” tegasnya lagi.

Menangis
Melihat kepetahan bicara Leona, terdetik persoalan adakah remaja berusia 18 tahun itu sudah biasa ditemu bual oleh media terutama sejak kebelakangan ini, banyak artikel maya memetik kisah dirinya.
Mendengar pertanyaan yang diusulkan, gadis berlesung pipit itu melemparkan pandangan kecewa.
Cerita Leona, semua artikel tersebut ditulis tanpa sebarang pengesahan daripadanya.
Tambahnya lagi, kebanyakan berita yang ditulis melambangkan dia seperti terlalu liar dan menampakkan dirinya seperti simbol seks dek pemakaian yang dikatakan melampaui batas.

“Saya hanya menjadi diri sendiri. Saya fikir orang tidak suka kerana mereka kenal ayah saya sebagai selebriti popular.
“Namun pilihan saya untuk menari di platform TikTok, mewarnakan rambut atau memakai baju fesyen terkini sebenarnya dibuat oleh hampir semua gadis sebaya saya,” tuturnya satu per satu.
Pernah menangis kerana menerima kecaman atau buli siber daripada komen-komen yang melampau dalam Instagram, Leona berkata ibu bapa menjadi tempat meluahkan perasaan.
“Daddy selalu berpesan jika menerima sebarang kecaman, jangan mudah terkesan kerana kebanyakan orang yang menulis kata-kata itu tidak mempunyai kehidupan.
“Kadang-kadang ada budak kecil berusia lapan hingga 10 tahun menulis komen, mendakwa saya kafir dan akan masuk neraka. Saya tersenyum kerana ibu bapa sendiri tidak pernah mengajar
saya bercakap begitu kepada sesiapa,” katanya menutup bicara.















