fbpx

3 rentung kemalangan lima kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba sedang memadam kebakaran kereta yang membabitkan kemalangan lima buah kenderaan di Jalan Genuang-Tenang berhampiran Kampung Melayu Raya, Segamat malam tadi. Foto IHSAN BOMBA

Oleh FARAHWAHIDA AHMAD

SEGAMAT – Tiga ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan lima buah kenderaan dalam kemalangan di Jalan Genuang-Tenang berhampiran Kampung Melayu Raya di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, ketiga-tiga mangsa terkorban selepas gagal keluar menyelamatkan diri dari kenderaan masing-masing.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II Fuad Mohamad berkata, identiti semua mangsa bagaimanapun belum dikenal pasti.

“Dua mangsa rentung dalam kereta jenis Proton Saga manakala satu mangsa lagi dalam kereta jenis Honda Accord.

“Manakala tujuh mangsa yang menaiki kereta Proton Saga serta masing-masing pemandu Perodua Alza dan Proton Wira terselamat,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fuad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.47 malam sebelum tiga jentera bersama 15 anggota BBP Segamat dan Labis dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, bomba melakukan operasi pemadaman api kebakaran sejurus tiba dan mengeluarkan mangsa yang rentung sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Operasi ditamatkan pada pukul 1.28 pagi tadi.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI