KUALA LUMPUR – Impak watak Nurul Ain dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2, pelakon Wafariena Roslan mendedahkan pernah ditawarkan menjadi gadis pengiring (escort girl) kepada golongan kenamaan dengan bayaran RM120,000 bagi satu malam.
Wafariena, 25, berkata, dia kerap menerima tawaran sedemikian yang dibuat menerusi laman Instagramnya sejak dia bergelar artis setahun lalu.
“Sudah banyak kali saya didekati ‘ibu ayam’ di Instagram.
“Ada yang menawarkan bayaran RM80,000 sehingga RM120,000 untuk satu malam menjadi escort girl kepada anak orang kenamaan,” katanya secara eksklusif kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Wafariena, dia bagaimanapun tidak melayan atau ambil peduli mengenai tawaran tersebut.

Jelasnya, dia menyertai industri seni untuk menggilap bakat nyanyian dan lakonan bukannya terbabit dengan perkara tidak senonoh sehingga menjatuhkan maruah dirinya dan keluarga.
Dalam pada itu, Wafariena memberitahu, dia banyak menerima gambar tidak senonoh daripada lelaki yang tidak dikenali sejak akhir-akhir ini di Instagramnya.
“Saya mula diganggu mesej-mesej nakal selepas aktif di Instagram pada tahun lalu. Ia semakin menjadi-jadi sejak watak Nurul Ain mencuri tumpuan.
“Sejujurnya, saya banyak terima mesej (Instagram) daripada lelaki yang tidak dikenali.
“Mereka ajak buat benda bukan-bukan dan ada pula yang sanggup menunjukkan alat sulit mereka,” dedahnya.
Wafariena mula dikenali selepas melancarkan single pertama Carilah Aku pada tahun lalu.
Anak keempat daripada tujuh adik-beradik itu semakin mencuri tumpuan apabila melakonkan watak antagonis Nurul Ain dalam drama rantaian popular, 7 Hari Mencintaiku 2 yang bakal berakhir Isnin depan.














