fbpx

Kanak-kanak maut tertinggal dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh NUR SYAZWANA MANSOR

SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas selepas ditinggalkan di dalam kereta di Bukit Makmur, Sungai Lalang di sini semalam.

Mangsa dikatakan tertinggal di dalam kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di kawasan tempat kerja bapanya hampir 10 jam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kanak-kanak terbabit ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

“Bapa mangsa berusia lingkungan 30-an terlupa anaknya berada di dalam kereta lalu meninggalkannya dalam keadaan enjin kereta dimatikan dan tingkap bertutup,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, sebelum kejadian itu, lelaki terbabit telah menghantar kakak mangsa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bayu di sini dan terus ke tempat kerjanya di Bukit Makmur.

“Dia terlupa seorang lagi anaknya sedang tidur di  tempat duduk belakang yang mana lelaki itu sepatutnya menghantar mangsa ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir di sini,” ujarnya.

Menurut Adzli, lelaki terbabit yang bekerja sebagai pemandu lori kemudian memandu lori ke kawasan Sungai Petani, Baling, Sik dan beberapa lokasi lain.

“Dia pulang ke kilang dan menguruskan kerja di dalam bangunan pada pukul 4.30 petang.

“Ketika mahu pulang kira-kira pukul 6.30 petang, lelaki itu menemui anak keempat daripada lima beradik itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta,” katanya.

Ujar beliau, bapa mangsa terus menghubungi MERS 999 untuk memaklumkan kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat pada pukul 10 pagi ini,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI