fbpx

Bapa selamat bayi dalam kejadian bumbung runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan dalam sebuah rumah penduduk dipenuhi dengan sisa runtuhan bumbung selepas kejadian ribut awal pagi tadi.

Oleh NOR SHAFAWATI YUP

PORT DICKSON – Seorang bapa berjaya menyelamatkan bayinya yang sedang nyenyak tidur dalam kejadian bumbung rumah runtuh akibat ribut kuat di Taman PD Damai, Kampung Paya di sini awal pagi tadi.

Seorang mangsa, Shahrilzaily Ab. Karim, 44, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 3 pagi dia bersama bayi lelakinya, Muhammad Adeeb Shahrilzaily yang berusia sembilan bulan sedang tidur di bahagian bawah rumah.

“Saya terdengar bunyi angin ribut yang agak kuat sebelum terjaga, selepas itu saya terus memeluk dan memegang erat anak saya (bayi lelaki) yang tidur di sebelah sebelum tiba-tiba bumbung rumah runtuh.

“Syukur alhamdulillah serpihan siling dan bumbung runtuh itu terkena kepala saya menyebabkan kecedaraan dan sedikit berdarah, namun anak saya tidak terkena serpihan tersebut ” katanya kepada Kosmo!.

 

Keadaan kepala Shahrilzaily yang cedera dalam kejadian pagi tadi.

 

Shahrilzaily berkata, akibat kecederaan itu dia telah di bawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan menerima antara dua ke tiga jahitan di kepala.

“Isteri saya, Nurul Fadilah Ikram (35 tahun) yang berada di tingkat atas rumah pula mengalami kecederaan di tangan dan kaki,” katanya.

Muhammad Adeeb merupkan satu-satunya anak kepada pasangan tersebut.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Ahmd Mukhtar berkata, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada mangsa kira-kira pukul 3 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian didapati berlaku bencana alam iaitu ribut melibatkan lapan buah rumah yang mengalami kerosakan struktur bumbung runtuh dan tercabut.

“Dua buah rumah pula mengalami kerosakan teruk dan menyebabkan tiga mangsa mengalami kecederaan,” katanya.

Tambah beliau, pihak bomba telah melakukan operasi penyelamatan dan memberi rawatan awal kepada mangsa dengan menghantar mereka ke Hospital Port Dickson menggunakan jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI