fbpx

K2

Kelazatan sajian stik jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Daniel menunjukkan menu kambing shank dan kambing lambak yang mendapat permintaan tinggi.

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini bermula pada 18 Mac lalu telah menyukarkan orang ramai mendapatkan hidangan kegemaran mereka.

Ini ekoran daripada sekatan pergerakan oleh kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Situasi tersebut telah memberi idea kepada pemilik trak makanan berasaskan cita rasa Itali, La Famiglia untuk mempelbagaikan hidangan supaya dapat memenuhi permintaan semasa para pelanggan.

Rentetan itu, trak makanan yang beroperasi sejak tujuh tahun lalu itu menambah tiga menu baharu iaitu stik kambing lambak, kambing shank (betis) dan daging rusuk (lembu).

Pemiliknya, Mohd. Daniel Fikri Mohd. Aris berkata, dia mendapati ramai penggemar hidangan berasaskan stik sukar mendapat sajian tersebut sewaktu tempoh PKP selama tiga bulan.

Jelasnya, ini disebabkan banyak restoran yang menyediakan sajian tersebut menutup operasi atau tidak menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah.

“Sepanjang tempoh PKP, ramai tidak dapat keluar untuk ke restoran menikmati sajian kegemaran mereka. Jadi, saya bersama rakan kongsi mendapat idea untuk menambah tiga menu ini dengan berkonsepkan sajian mewah dengan harga tepi jalan.

 

RASA dan kualiti stik daging rusuk lembu ini tidak ubah seperti yang tersaji di restoran mewah.

 

“Tidak sangka pula, sambutan hebat diterima daripada para penggemar stik terutamanya mereka yang tinggal di sekitar Lembah Klang,” katanya kepada K2.

Meskipun PKP telah ditamatkan, namun ketiga-tiga sajian tersebut kini dijadikan menu tetap di La Famiglia yang beroperasi di Jalan Dungun, Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada waktu siang dan Tapak Urban Street Dining, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada waktu malam.

Menurut Mohd. Daniel, ketiga-tiga sajian tersebut dihasilkan mengikut resipi dari luar negara yang telah diubah suai mengikut selera masyarakat di negara ini.

Menariknya, ketiga-tiga hidangan tersebut dimasak menggunakan teknik sous vide selama 18 jam bagi menghasilkan daging yang lembut dan empuk.

Jelasnya, tukang masak hanya memanaskan semula sajian tersebut di dapur trak makanan selama beberapa minit sebelum dihidangkan bersama sos lada hitam dan cendawan.

“Sebenarnya, hidangan ini telah dimasak di dapur berpusat kami di Ampang, Selangor. Kemudian, dibekukan dan hanya dimasak mengikut permintaan pelanggan.

“Kami juga menjual sajian ini secara sejuk beku kepada para pelanggan untuk dibawa pulang ke rumah. Mereka boleh dapatkan produk ini di trak makanan kami,” ujarnya.

 

TRAK La Famiglia selama ini dikenali dengan menu-menu cita rasa Itali seperti spageti dan sebagainya.

 

Ketiga-tiga sajian tersebut sering menjadi pilihan pelanggan di La Famiglia disebabkan harganya yang berpatutan berbanding di restoran-restoran-restoran mewah. Kambing lambak dijual pada harga RM24.90, kambing shank (RM29.90) dan daging rusuk (RM29.90).

Trak makanan tersebut turut menyajikan sajian Barat lain iaitu spageti dan carbonara bersama pilihan ayam, kambing daging atau udang pada harga serendah RM10 sepinggan.

“Sejak sekian lama, kami dikenali dalam kalangan penggemar makanan jalanan sebagai penyedia sajian Itali terbaik. Selain harga berpatutan, kami juga sentiasa memastikan rasanya sentiasa konsisten,” ujarnya.

La Famiglia turut membuka tempahan kepada orang ramai yang berminat menjemput mereka untuk menyediakan hidangan pada acara-acara keramaian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN