fbpx

Empat rumah diserbu jual air ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Air ketum yang telah siap diproses bersama tiga periuk besar yang dipercayai digunakan untuk memproses ketum ditemui dalam serbuan di salah sebuah rumah di Taman Politeknik, Port Dickson di sini malam tadi.

Oleh NOR SHAFAWATI YUP

PORT DICKSON – Sindiket yang dikesan menjual rokok seludup, air ketum dan menjalankan kegiatan judi atas talian terbongkar selepas pihak polis menyerbu empat buah rumah di Taman Politeknik Port Dickson di sini petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Mohamed berkata, dalam serbuan pada pukul 6.30 petang di rumah teres setingkat itu, polis menemui dapur bersama tiga periuk besar yang dipercayai digunakan untuk memproses ketum selain ratusan air ketum yang telah siap diproses.

“Selain itu, pihak polis turut menemui rokok pelbagai jenama yang disimpan di dalam rumah, bonet kereta serta yang dipamerkan secara terbuka di sebuah gerai berhadapan rumah berkenaan.

“Dalam serbuan tersebut seramai enam orang telah ditahan iaitu seorang lelaki tempatan, tiga lelaki warga Indonesia dan masing-masing seorang lelaki warga Sri Lanka dan seorang perempuan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Aidi Sham, operasi mengejut hasil aduan orang awam itu bermula di sebuah gerai berhadapan rumah suspek warga tempatan yang dikesan menjual rokok seludup secara terbuka.

“Polis kemudian menahan lelaki itu bersama seorang lelaki Indonesia yang dipercayai turut terlibat dalam judi atas talian.

“Hasil maklumat daripada suspek, polis turut menemui empat buah kotak berisi rokok seludup dalam sebuah kereta Mercedes Benz lama,” katanya.

Jelas beliau, dalam masa sama polis turut dibawa ke sebuah rumah kosong tidak jauh dari situ yang dipercayai menjadi lokasi simpanan rokok seludup sebelum menemui 480 karton rokok pelbagai jenama dianggaran bernilai RM25,000.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui 170 bungkusan air ketum siap diproses yang kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah kosong yang dijadikan tempat pemprosesan,” katanya.

Tambah beliau, secara keseluruhan polis telah merampas wang tunai berjumlah RM4,979, 480 karton rokok seludup bernilai RM25,000 dan air ketum bernilai RM1,700 berserta tujuh buah telefon bimbit dan dua keping pasport yang telah tamat tempoh dalam operasi yang berakhir pukul 11 malam semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 135 (d) Akta Kastam 1967, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 6(1), dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/60. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI