fbpx

Terbitan Sukuk Wakalah TNB terlebih langganan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Terbitan pertama nota kewangan jangka sederhana Islam Tenaga Nasional Bhd. (TNB) yang bernilai RM3 bilion di bawah Program Sukuk Wakalah dengan nilai nominal sehingga RM10 bilion telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelabur dalam dan luar negara.
TNB dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, tawaran tersebut berjaya ditetapkan pada 29 Julai 2020 selepas proses rundingan selama sehari dan ia telah berjaya menarik minat pelbagai pelabur dalam pasaran modal, meskipun dalam keadaan pasaran global yang mencabar dan kesan daripada wabak Covid-19.
Terbitan Sukuk ini terlebih langganan hampir empat kali dengan permintaan pada jumlah keseluruhan langganan RM7.82 bilion diterima pada kemuncak proses rundingan daripada lebih 41 akaun melibatkan pengurus dana, firma insurans hayat, dana persaraan, bank dan syarikat korporat.
Disebabkan strategi rundingan yang cemerlang dan permintaan kukuh yang diterima ketika rundingan, tawaran telah ditingkatkan kepada RM3 bilion.
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya berpuas hati terhadap sambutan daripada pelabur terhadap transaksi tersebut dan harga yang ditetapkan bagi ketiga-tiga bahagian (tranches) Sukuk kebanyakannya berada dalam lingkungan harga dagangan pasaran sekunder bagi sukuk TNB yang lain.
“Dalam tranche tertentu, ia adalah jauh lebih baik daripada kadar pasaran sukuk TNB sedia ada. Permintaan yang tinggi daripada pelabur adalah petanda jelas keyakinan pasaran modal terhadap TNB dan kelestarian jangka panjang perniagaan TNB.“ katanya.

Sehingga kini, tawaran tersebut adalah terbitan AAA korporat terbesar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan bagi menghadapi pandemik Covid-19.
Ia adalah terbitan yang mempunyai tempoh matang terpanjang (20 tahun) yang diterbitkan oleh syarikat korporat tahun ini, seterusnya mencerminkan permintaan tinggi pelabur untuk penawaran kredit yang berkualiti tinggi seperti TNB.
Program Sukuk Wakalah telah diberi penarafan AAA oleh RAM Rating Services Bhd.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI