fbpx

Pemilik bengkel, dua pekerja maut kenderaan bertembung treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kenderaan X70 (kiri) dan Mitsubishi Triton (kanan) yang terbabit dalam kemalangan.

Oleh BAHRUDDIN HATTA

KUALA KRAI – Tiga lelaki termasuk seorang warga Thailand maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 76.5, Jalan Kota Bahru-Gua Musang dekat Kampung Pahi di sini pagi tadi.

Dalam nahas pada pukul 5 pagi itu, pemilik sebuah bengkel, Zainuri Idham Mohamad Zulkifli,22, yang merupakan pemandu kenderaan bersama dua pekerjanya, Mohammad Zulffairy Nasir,19, dan warga Thailand, Syed Muhammad Khairi Syed Ismail,19, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati, kenderaan Mitsubishi Triton yang dinaiki ketiga-tiga mangsa sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Gua Musang.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki mangsa secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Insiden itu menyebabkan kenderaan pacuan empat roda berkenaan bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Suzaimi, pada masa sama, sebahagian enjin Mitsubishi Triton tercampak ke luar sehingga menghempap bahagian hadapan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang berada di laluan sama dengan kenderaan mangsa.

Jelasnya, keadaan itu mengakibatkan SUV jenis Proton X70 yang dipandu oleh seorang guru dan anaknya terbakar di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, pemandu SUV berusia 54 tahun dan anaknya berusia 34 tahun yang berasal dari Kampung Serdang Melor,Kota Bharu itu sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Selain itu, pemandu treler berusia 50 tahun itu juga tidak mengalami sebarang kecederaan namun, kenderaan berat yang dipandunya mengalami kerosakan di bahagian sisi kanan hadapan,” katanya.

Menurut Suzaimi, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk dibedah siasat.

Tambahnya, pihak polis juga sedang mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan kemalangan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI