fbpx

Membudayakan kitar semula dalam masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMALAN kitar semula amat penting untuk disemai dan dilaksanakan dalam kalangan masyarakat termasuk generasi muda. – GAMBAR HIASAN

PEMBUANGAN sampah-sarap di merata tempat secara tidak terkawal menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Pencemaran yang berlaku akan menyebabkan kualiti hidup manusia juga terganggu.

Alangkah baiknya jika masyarakat di negara ini mempunyai kesedaran untuk mengitar semula sampah-sarap daripada dibuang begitu saja bagi memelihara alam sekitar.

Kitar semula membawa maksud memungut dan mengasingkan sisa buangan pepejal untuk diproses menjadi produk yang sama atau barangan lain.

Tidak dapat dinafikan masyarakat di negara ini masih belum mempunyai kesedaran sepenuhnya untuk mengamalkan kitar semula.

Pensyarah Kanan, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, pada tahun 2018, rakyat Malaysia membuang sumber kitar semula bernilai RM476 juta.

Tegasnya, bahan kertas mencatat pengeluaran sisa terbanyak iaitu 17 peratus atau bernilai RM205 juta, manakala sumber buangan kedua terbesar adalah plastik iaitu 9 peratus atau sebanyak RM163 juta.

“Dalam satu kajian di negara ini, 36 peratus responden mengakui membuang beg plastik selepas hanya sekali digunakan dan secara purata, seorang individu menggunakan hampir lapan keping beg plastik seminggu walaupun kempen mengurangkan penggunaan beg plastik, antaranya mengenakan bayaran 20 sen beg plastik telah lama dilaksanakan.

“Bayangkan berapa banyak plastik dibuang dalam seminggu? Masyarakat harus sedar pereputan beg plastik bukan semudah yang disangka selain menyumbang kepada pembentukan gas rumah hijau yang memberi kesan kepada pemanasan global serta memudaratkan hidupan,” katanya kepada Infiniti.

Memberi contoh di negara lain, Haliza berkata, pasar raya di Perancis mempraktikkan peraturan yang lebih drastik apabila tidak menggunakan langsung beg plastik.

Pendekatan ini bukan sahaja menjadi kaedah untuk memaksa individu menggunakan beg kitar semula, bahkan membantu menyelamatkan bumi.

 

HALIZA menyampaikan ceramah tentang kesedaran kitar semula kepada orang ramai
di Kampung Changkat, Gombak, Selangor.

 

Dalam pada itu, Haliza berkata, ketika ini, jumlah sisa pepejal negara telah mencecah lebih 33,000 tan sehari dan daripada jumlah itu, hanya 10.5 peratus dikitar semula untuk menjadi produk lain yang mempunyai nilai tambah.

“Walaupun pelbagai kempen sudah digerakkan kerajaan dan pihak swasta, namun kesedaran untuk kitar semula dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum memuaskan sedangkan manfaatnya amat besar.

“Aktiviti kitar semula sangat penting untuk disemai dan dilaksanakan dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.

Tambahnya, apa yang penting, amalan kitar semula dapat mengurangkan penghasilan sisa buangan dan sampah di tapak pelupusan sampah.

Biarpun begitu, katanya, kewujudan tapak-tapak pelupusan sampah bukanlah jalan penyelesaian terbaik dalam menguruskan sisa buangan kerana tanah semakin terhad, manakala alam semula jadi perlu dipelihara.Amalan kitar semula baginya adalah jalan penyelesaian terbaik.

Sementara itu, katanya, pada tahun 2014, kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM1.4 bilion bagi kos perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dengan purata 2.3 juta tan bahan buangan dibawa ke tapak pelupusan bernilai mencecah RM900 juta setahun.

Masyarakat perlu bertindak segera kerana jumlah bahan dan sisa buangan ini semakin bertambah dan berganda setiap masa.

“Setiap daripada kita perlu membudayakan amalan kitar semula kerana amat penting untuk mengurangkan kemusnahan dan pencemaran alam semula jadi.

“Kertas, plastik, tin aluminium dan kaca antara bahan buangan yang boleh dikitar semula,” kata Haliza.

Haliza menambah, beberapa negara boleh dijadikan model dalam menerap amalan kitar semula.

“Di Jepun misalnya, undang-undang dikuatkuasakan dengan mengenakan denda melebihi 30,000 yen (RM970.57) kepada mereka yang membuang kelengkapan rumah tanpa mengitar semula.

“Di Jerman pula, kerajaan mewajibkan syarikat dan industri untuk mengasing dan mengitar semula sekurang-kurangnya 80 peratus daripada barangan yang dikeluarkan mereka.
Misalnya, syarikat pengeluar minuman kotak diwajibkan mengitar semula kotak minuman yang sudah digunakan. Begitu juga pengeluar makanan dan minuman dalam tin,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI