fbpx

Penampilan garang Mitsubishi Xpander

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENTERA crossover ini menampilkan rekaan Dynamic Shield yang sinonim dengan kenderaan moden Mitsubishi.

MITsubishi Motors Malaysia (MMM) akhirnya mengesahkan bahawa jentera crossover tujuh tempat duduk, Mitsubishi Xpander baharu akan memasuki pasaran tempatan.

Jentera tersebut dijangka dilancarkan menjelang hujung tahun ini di Malaysia, sekali gus menjadi berita gembira bagi peminat kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan.

Ini juga bermakna, dengan kemasukan Xpander ke pasaran tempatan, peminat jentera segmen B mempunyai lebih pilihan selain daripada model sedia ada seperti Honda BR-V, Toyota Rush dan Perodua Aruz.

Pada tahun 2017, Indonesia menjadi negara pertama memasarkan Xpander diikuti negara-negara ASEAN yang lain seperti Filipina dan Thailand.

Memaklumkan tentang perkara tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi berkata, Xpander ialah sebuah jentera yang bukan sahaja penting bagi syarikat tersebut, malah turut diminati di seluruh rantau ASEAN.

Menurut beliau, jentera berkenaan ternyata diminati peminat kenderaan berjenama dari Jepun apabila setakat Jun lalu, kenderaan crossover itu telah dijual melebihi 260,000 unit di Asia Tenggara.

“Penerimaan Xpander di negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand serta Vietnam sekali gus membuktikan bahawa jentera itu sesuai digunakan di negara ini.

“MMM sangat teruja menjelang pengenalan jentera crossover tujuh tempat duduk itu di Malaysia akhir tahun ini,” katanya.

 

RUANG yang luas menjadikan MPV ini diminati pengguna di rantau Asia Tenggara.

 

Bagaimanapun, peminat Xpander tempatan masih lagi dibiarkan tertanya-tanya mengenai spesifikasi serta varian jentera tersebut bagi pasaran Malaysia kerana hal itu tidak didedahkan oleh MMM.

Namun, apa yang pasti, MPV tersebut akan didatangkan dengan ciri ikonik Dynamic Shield yang terdapat pada semua jentera baharu Mitsubishi.

Umum mengetahui bahawa Dynamic Shield merupakan satu ciri unik bagi jenama tersebut kerana dikatakan membantu jentera Mitsubishi meraih prestasi terbaik serta meningkatkan aspek keselamatan pemandu serta penumpang.

Spesifikasi

Begitupun, jika mahu dibayangkan spesifikasi Xpander bagi pasaran tempatan, kita perlu lihat pada spesifikasi MPV tersebut yang dijual di Indonesia ketika ini.

Ini kerana, Indonesia mula menjual Xpander versi facelift awal tahun ini, yang mana beberapa ciri pada jentera tersebut dinaik taraf berbanding model asal pada 2017.

Ini sekali gus membayangkan spesifikasi Xpander yang bakal memasuki pasaran tempatan pastinya tidak jauh berbeza daripada versi facelift berkenaan.

Untuk makluman, bagi pasaran Indonesia, Xpander didatangkan dengan beberapa varian iaitu GLX, GLS, Exceed, Sport dan Ultimate.

 

RUANG penyimpanan barangan yang luas menjadikan jentera ini diminati pengguna berkeluarga.

 

Semua jentera Xpander didatangkan dengan enjin 1.5 liter aspirasi biasa. Menerusi enjin tersebut, kenderaan ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm tork pada 4,000 rpm.

Dari segi estetika pula, paling ketara perubahannya adalah pada bahagian grilnya yang kini menampilkan rekaan lebih garang berbanding rekaan terdahulu.

Selain gril, Xpander juga didatangkan dengan beberapa ciri baharu bergantung kepada varian ditawarkan.

Sebagai contoh, bagi varian Exceed ke atas, Xpander didatangkan dengan lampu LED, rim 16 inci dua tona, antena shark fin serta penyah kabus, kamera dan sensor belakang.

Sebagai mana jentera moden yang lain, Xpander dilengkapi beberapa teknologi wajib seperti Hill Start Assist (HSA), Kawalan Stabiliti Aktif (ASC), Sistem Brek Antikunci (ABS) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

Pedestrian Protection yang merupakan teknologi menyerap hentakan juga terdapat pada jentera tersebut. Selain itu, MPV ini juga didatangkan dengan dua beg udara iaitu di tempat duduk hadapan.

 

AHTENA shark fin merupakan salah satu ciri baharu Mitsubishi Xpander facelift.

 

Bahagian dalam Xpander juga menerima penambahbaikan, antaranya ruang kabin berwarna hitam bagi varian Sport, serta pemasangan skrin sesentuh tujuh inci dengan akses sambungan telefon pintar bagi varian Sport dan Ultimate.

Kerusi tempat duduk di barisan kedua dan ketiga juga boleh dilipat bagi menghasilkan ruang tambahan, selain tempat penyimpanan barangan di bahagian belakang yang didatangkan dengan compartment khusus.

Ruang yang luas itu menjadi nilai tambah bagi Xpander kerana penggunanya di rantau ASEAN mengakui, mereka memilih jentera berkenaan kerana sifatnya yang mesra keluarga.

Selain itu, kerangka MPV itu pula menggunakan teknologi Evolusi Keselamatan Impak Diperkukuh (RISE) Mitsubishi.

Tambah melicinkan pergerakan serta kestabilan MPV berkenaan adalah penggunaan sistem suspensi depan jenis topang MacPherson dan Torsion Beam di bahagian belakangnya.

Bagi varian GLX, kenderaan ini hanya didatangkan dengan transmisi manual lima kelajuan, manakala varian GLS, Exceed dan Sport boleh didapatkan dalam transmisi manual serta automatik empat kelajuan.

Varian Ultimate pula hanya didatangkan dengan transmisi automatik empat kelajuan.

 

RIM dua tona rekaan baharu menyerikan lagi model Xpander terkini.

 

Mitsubishi Xpander memiliki kelegaan bumi setinggi 205 milimeter (mm) dari permukaan tanah. Ini boleh dikatakan agak tinggi, namun masih ketinggalan di belakang Perodua Aruz yang memiliki kelegaan bumi setinggi 220mm.

Mitsubishi Xpander didatangkan dengan enam warna iaitu quartz white pearl, sterling silver metallic, graphite grey metallic, jet black mica, red metallic dan deep bronze metallic.

Semua ciri tersebut berkemungkinan besar terdapat pada Mitsubishi Xpander baharu yang bakal dilancarkan kelak.

Begitupun, persoalan sama ada Xpander bagi pasaran tempatan akan didatangkan dengan ciri khas, hanya MMM yang mempunyai jawapannya.

Paling penting adalah berkenaan harganya apabila dipasarkan kelak. Di Indonesia, ia dijual bermula harga 217.8 juta rupiah (RM62,574), namun secara realistiknya, jentera ini tidak akan dijual pada harga itu di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk Mitsubishi, orang ramai boleh melayari laman web www.mitsubishi-motors.com.my. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI