fbpx

Hamdin impi status raja gelecek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMDIN tidak sabar untuk berguru dengan Ridzwan yang mempunyai kepakaran menggelecek serta gaya permainan lincah apabila beraksi bersama dalam pasukan sama Pahang Rangers.

PEMAIN muda Pahang Rangers, Hamdin Zarif Maimun mengakui gembira dengan kehadiran tonggak pasukan kebangsaan, Ridzwan Bakri yang memilih untuk menyertai skuad futsal negeri tersebut musim ini.

Hamdin, 19, sudah tidak sabar untuk berguru dengan Ridzwan yang mempunyai kepakaran menggelecek serta gaya permainan lincah sehingga menyaksikan dia disenaraikan dalam skuad futsal kebangsaan.

“Saya mula terlibat dengan futsal sebab selalu menyertai kejohanan peringkat umur bawah 15 hingga 17 tahun. Saya juga pernah bermain dalam ‘liga haram’ sebelum disuruh menyertai pemilihan Kuantan Rangers (nama lama Pahang Rangers).

“Idola saya ialah pemain terbaik dunia sebanyak enam kali iaitu Ricardinho. Kalau di peringkat tempatan pula, saya memang meminati Iwan (Ridzwan) kerana semua orang tahu dia kaki gelecek.

“Dulu dapat tengok dari jauh sahaja dan sekarang kami menjadi satu pasukan. Saya tidak sabar untuk belajar daripada dia, mana tahu mungkin satu hari nanti saya juga boleh menjadi kaki gelecek juga,” katanya.

RIDZWAN (kanan) mempunyai kepakaran menggelecek serta gaya permainan lincah sehingga menyaksikan dia disenaraikan dalam skuad futsal kebangsaan.

 

Pahang Rangers musim ini diperkuatkan dengan kehadiran Ridzwan dan seorang lagi bintang Harimau Malaya, Awalludin Mat Nawi.

Ia menyaksikan Pahang Rangers kini mempunyai lapan pemain kebangsaan termasuk kapten, Khairul Effendy Bahrin, Abu Haniffa Hasan, Saifulnizam Mohd Ali, Azwann Ismail, Syafiq Hamzah dan Harith Naim Mohd Nasir. 

Sebagai rekod, Ridzwan berjaya menjaringkan 18 gol dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia tahun lepas sekali gus berkongsi status sebagai penjaring terbanyak kejohanan bersama-sama Saifulnizam dan Muhd. Fariq dari Selangor. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI