fbpx

13 suspek kes gaduh ala mafia direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara 11 suspek yang terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan seorang lelaki parah direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Kota Bharu bermula hari ini.

KOTA BHARU – Sebelas orang daripada dua kumpulan penarik kereta yang terlibat dalam pergaduhan ala mafia sehingga seorang daripada mereka parah ditetak direman untuk siasatan lanjut selama tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, perintah reman itu dikeluarkan terhadap kesemua suspek di Mahkamah Kota Bharu di sini sehingga Khamis depan.

Katanya, selain itu, dua lagi suspek wanita yang dipercayai terlibat dalam kes itu turut direman selama lima hari bermula hari ini hingga Selasa depan.

13 suspek termasuk dua wanita itu yang berusia antara 20 hingga 37 tahun ditahan polis pada pukul 7 pagi semalam di Pendang, Kedah selepas dipercayai mahu melarikan diri ke sempadan.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, dua kumpulan penarik kereta bergaduh ala mafia sehingga salah seorang daripada mereka parah ditetak dalam dua kejadian berasingan di daerah ini minggu lalu.

Pergaduhan berdarah itu membabitkan Kumpulan Fuad dan Kumpulan Khairul yang dipercayai aktif menarik kereta di sekitar Kota Bharu.

Kejadian itu dipercayai berpunca selepas kereta Perodua Myvi yang dimiliki teman wanita ketua Kumpulan Fuad ditarik oleh Kumpulan Khairul.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, siasatan awal mendapati, pergaduhan dua kumpulan itu tercetus di hadapan rumah yang didiami oleh Kumpulan Khairul di Jalan Pasir Puteh kira-kira pukul 4 pagi 28 Julai lalu.

Katanya, seramai 15 ahli Kumpulan Fuad bertindak memakai topeng dan membawa 11 bilah pedang bersama dua senjata api menaiki tiga buah kereta jenis BMW, Suzuki Swift dan Proton Waja menyerang Kumpulan Khairul di rumah tersebut.

“Mereka memecahkan cermin depan kereta jenis Perodua Myvi dan Mini Cooper selain bertindak membakar bahagian hadapan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang berada di rumah tersebut.

“Terdapat enam orang ahli Kumpulan Khairul yang berada di rumah namun, mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini semalam.

Kata Abdullah, ekoran daripada perasaan tidak puas hati, ahli Kumpulan Khairul bertindak menyerang adik Kumpulan Fuad di Kampung Padang Enggang, dekat Jalan Pasir Hor pada 30 Julai lalu.

“Mangsa yang berusia 32 tahun parah akibat ditetak beberapa kali selain dua jarinya putus.

“Lelaki itu ditemui dalam keadaan terbaring berhampiran sebuah stor barangan besi buruk di Padang Enggang dekat sini dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia,”

Menurut Abdullah, enam daripada mereka ditahan pada 30 Julai dan 5 Ogos lalu.

Katanya, polis sedang mengesan empat lagi suspek iaitu Nik Kamal Riduan Ismail, 36 , yang dikenali Abe Gagap, Mohd. Nurfino Omar, 37, Mohd. Fuad Mohd. Yusuf, 33 dan Muhamad Fahmi Norzere , 24 untuk membantu siasatan. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI