fbpx
BEKAS anggota polis mengaku bersalah atas dua tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.

Bekas polis dipenjara 14 tahun, denda RM70,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang bekas anggota polis dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM13,000, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Shamsul Shahrul Samsudin, 38, mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM7,500 dan RM5,500 tersebut dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Murtazadi Amran.

Murtazadi menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM40,000 untuk pertuduhan pertama serta penjara enam tahun dan denda RM30,000 bagi pertuduhan kedua.

Hukuman penjara diperintahkan berjalan secara serentak mulai hari ini selain tertuduh perlu menjalani tambahan setahun lagi penjara jika gagal membayar denda yang dijatuhkan bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh melakukan dua kesalahan tersebut ketika masih bertugas sebagai anggota polis berpangkat koperal di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan RM7,500 daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk melepaskan dan menurunkan pertuduhan daripada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kepada Seksyen 12 akta sama yang dihadapi suami wanita terbabit.

Kesalahan itu dilakukan Shamsul di hadapan kedai Longwan di Mergong di sini pada 14 Jun 2013.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa meminta suapan sebanyak RM5,500 dengan dorongan sama melalui akaun bank milik individu serupa di Bank Rakyat Cawangan Mergong, Mergong di sini kira-kira pukul 1.03 tengah hari, 26 Julai 2013.

Pendakwaan bagi setiap pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI