fbpx

Kuala Lumpur akan dilengkapi 5,000 CCTV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keselamatan warga kota selepas ini lebih terjamin apabila 5,000 televisyen litar tertutup (CCTV) akan dipasang di kawasan-kawasan strategik di bandar raya ini menjelang tahun hadapan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah berkenaan adalah termasuk yang telah dipasang ketika ini dan beberapa lagi kamera akan dinaik taraf serta ditambah selepas ini.

“Pada masa ini, terdapat kira-kira 1,900 buah kamera khusus untuk pemantauan lalu lintas, 100 kamera untuk kawasan hotspot banjir, 270 kamera di taman awam untuk kawalan keselamatan dan vandalisme serta 130 kamera di kawasan River of Life.

“Selain itu, ada juga beberapa kamera dipasang di pasar-pasar awam untuk kawalan keselamatan dan kes-kes berkaitan kesihatan serta 300 kamera untuk pemantuan jenayah,” katanya ketika sesi penggulungan titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, menjadi hasrat kementerian melihat semua kamera itu diurus secara bersepadu dan bersifat pelbagai fungsi supaya ia lebih ekonomik.

“Apa yang lebih penting, kesemua kamera ini diharap dapat menyumbangkan ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya selamat.

“Pada masa sama, saya telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mempertimbangkan supaya memasukkan dalam arahan pembangunan iaitu apabila pemaju diluluskan projek pembangunan, mereka dikehendaki memasang kamera yang telah ditetapkan spesifikasi tertentu,” jelasnya.

Ujar beliau, apabila perkara itu dilaksanakan, kadar jumlah kamera yang ada di bandar raya tersebut dapat dipertingkatkan.

“Sebagai contoh jumlah kamera yang terdapat di bandar raya Beijing adalah sebanyak 56 buah bagi setiap 1,000 penduduk, London (67) dan jiran kita Singapura (15).

“Kuala Lumpur ketika ini mempunyai kira-kira tiga kamera bagi setiap 1,000 penduduk,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI