fbpx

K2

Tarikan tersendiri atap mulong bori dango

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUING tekun membuat anyaman atap mulong ketika ditemui di Kampung Segong, Bau, Sarawak baru-baru ini.

KETIKA dunia industri pembinaan berlumba-lumba menghasilkan binaan konkrit, pembinaan rumah menggunakan atap mulong tetap mempunyai tarikan tersendiri.

Dikenali sebagai ‘bori dango’ (rumah mainan) Sumuk Bobo, rumah itu adalah satu-satunya binaan berbumbungkan atap mulong di tengah-tengah Kampung Segong, Bau, Sarawak yang sering menjadi tarikan ramai.

Penggunaan daun mulong sebagai atap bukanlah sesuatu yang asing pada zaman dahulu, namun penggunaannya yang jarang pada zaman ini dianggap unik dalam kalangan masyarakat.

Pembuat atap mulong rumah tersebut, Ruing Basin, 77, berkata, kegunaan daun mulong sebagai atap bukanlah suatu pilihan yang bersesuaian dengan pembinaan rumah di era baharu ini dari segi ketahanannya.

“Atap mulong ini tidak kekal lama. Atap ini hanya mampu bertahan selama enam ke tujuh tahun sahaja.

“Sekarang dalam dunia serba moden dan canggih serta adanya sumber bahan-bahan pembuatan yang baharu seperti batu bata dan zink, bahan-bahan itu adalah lebih ideal digunakan kerana daya ketahanan yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, akuinya atap mulong ini mempunyai tarikannya tersendiri kerana lebih menonjol berbanding rumah-rumah berbumbungkan zink yang sudah sering dilihat.

“Tiada lagi yang istimewa mengenai rumah-rumah konkrit kerana sudah dilihat biasa pada masa ini. Kebanyakan orang hanya lalu lalang apabila melihat rumah-rumah seperti itu.

“Namun, ‘bori dango’ ini yang hanya beratapkan daun mulong dan berdindingkan kayu buluh menjadi tarikan baharu masyarakat di mana ramai orang akan singgah berhenti di tepi jalan hanya untuk merakam gambar.

“Inilah nilai istimewa yang dibawakan oleh atap mulong,” katanya kepada K2 apabila ditemui baru-baru ini.

Kenapa daun mulong? Katanya daun ini amat kukuh dan tidak mudah reput, selain mempunyai keupayaan menyejukkan kediaman.

Jelasnya, daun mulong mirip daun nipah, namun lebih kuat dari segi ketahanan.

 

Rupa daun-daun mulong yang telah dianyam menjadi atap.

 

Daun mulong diperolehi dari pokok di dalam hutan berhampiran rumah Ruing dengan bantuan anak-anak jirannya.

Mengupas lebih lanjut bagi proses pembuatan atap mulong ini, Ruing berkata, hanya tiga bahan diperlukan iaitu kayu buluh atau rotan, tali nilon keras dan daun mulong.

“Prosesnya tidak susah. Ia memerlukan kemahiran asas menjahit atau menganyam di mana jahitan tersebut hanya diperlukan untuk memperkemas dan memperketat daun-daun mulong tersebut agar menjadi kukuh sebagai atap.

“Dalam menjahit pakaian, kita menggunakan jarum yang tajam dan benang untuk menembusi kain, tetapi untuk pembuatan atap ini, saya hanya memotong tali nilon yang lebar menjadi bentuk anak panah agar ia mudah menembusi daun-daun mulong itu,” jelasnya.

Katanya lagi, walaupun pembuatan atap mulong kelihatan senang, penjahitannya amat susah kerana daun mulong mempunyai duri-duri pada bahagian sisi daun.

“Sebab itu, saya akan mengelap dulu daun tersebut dengan kain secara arah bertentangan duri tersebut agar durinya tertanggal.

“Kadang-kadang saya juga menggunakan sarung tangan yang tebal semasa menjahit daun mulong,” tambahnya.

Ruing berkata, jiran-jiran di kawasan kampung turut membuat tempahan untuk atap-atap mulong setelah melihat bori dango tersebut.

Walaupun mengetahui akan keengganannya untuk menganyam lagi atas faktor usia, tempahan tersebut tetap dibuat dek kerana tidak mengenali mana-mana lagi orang yang mempunyai kemahiran sama.

Ditanya jika dia mahu atau tidak untuk mengajar mereka yang berminat, dia menjawab:

“Kebanyakan anak muda sekarang tidak pernah melihat atap sebegitu rupa.

“Walaupun istimewa, saya ragu akan ada antara mereka yang mahu mempelajarinya.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN