fbpx

Penduduk bimbang penularan kluster Sivagangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat kes baharu Covid-19 susulan kluster PUI Sivagangga dicatatkan di daerah Padang Terap hari ini.

KUALA NERANG – Penduduk di Kampung Ulu, Padang Sanai dalam daerah Padang Terap dekat sini bimbang apabila sebuah keluarga dari kampung tersebut disahkan positif Covid-19 susulan penularan kluster PUI Sivagangga.

Seorang penduduk dikenali sebagai Siti, 26, berkata, dia mendapat tahu bahawa ada sebuah keluarga di kampung itu dijangkiti Covid-19 dan telah dibawa ke hospital untuk melakukan saringan dan rawatan.

“Saya berasa bimbang apabila mendapat tahu ada kes Covid-19 di kampung ini dan berharap orang kampung yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit agar melakukan saringan dengan segera,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut di sini hari ini.

Katanya, penduduk di kawasan Padang Sanai juga diharapkan dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan demi keselamatan semua.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Sohaimi, 42, berkata, beberapa pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap ada datang ke sekolah pada pagi tadi untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

“Saya difahamkan anak kepada penduduk yang dijangkiti penyakit itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kubang Palas di sini dan tiada lagi maklumat sekolah akan ditutup atau tidak,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Kedah, Abd. Aziz Selaiman ketika dihubungi enggan mengulas mengenai operasi sekolah terlibat ekoran wabak tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 11 kes baharu Covid-19 dikesan daripada kluster PUI Sivagangga pada hari ini.

Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk diasingkan dan menerima rawatan.

Aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif giat dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah untuk mencegah penularan Covid-19 selain proses pembersihan dan nyah kuman dilaksanakan di semua premis termasuk sekolah dan rumah kes yang dikesan positif. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI