fbpx
Keadaan Mohd. Hafiz yang sempat berpaut pada sebatang dahan pokok dalam Sungai Gatom di Jalan Kemuning 5, Taman Perling, Labis, petang tadi. Foto IHSAN BOMBA

Ingatkan saya dah nak mati.” – Mangsa

  • Oleh KOSMO!
  • 1 Ogos 2020, 10:00 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh NUR ALINA HASSAN

LABIS – Seorang remaja berhadapan detik cemas apabila nyaris lemas ketika mandi di Sungai Gatom, Taman Perling, di sini, petang tadi.

Mangsa, Mohd. Hafiz Lusiyono, 13, berkata, dia bersama dua rakannya berusia 12 dan sembilan tahun pergi ke sungai berkenaan pada pukul 3 petang untuk mandi-manda.

Namun katanya, sebaik tiba di kawasan itu, dia terlebih dahulu terjun ke sungai ekoran menganggap paras air cetek.

“Bagaimanapun, selepas terjun, tubuh saya terus ditolak arus sungai dan saya ketakutan kerana tak pandai berenang. Tapi Alhamdulillah, ALLAH masih lindungi saya apabila terdapat sebatang pokok dalam sungai itu yang membolehkan saya berpaut pada dahannya.

“Sebaik berjaya paut pada dahan pokok, rakan-rakan cuba memberikan bantuan namun gagal. Lebih sejam saya terperangkap di tengah sungai dan mereka lakukan pelbagai cara untuk selamatkan saya tapi tidak berjaya.

“Pada mulanya saya halang mereka mendapatkan bantuan luar kerana bimbang dimarahi, namun keadaan akhirnya memaksa berikutan tiada kaedah yang boleh dilakukan untuk membawa saya keluar dari sungai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini

Menurut Mohd. Hafiz, setelah lebih sejam berpaut pada dahan pokok, dia terpaksa meminta rakannya menghubungi talian kecemasan kerana merasakan tubuhnya semakin lemah dan kaki mulai kebas.

“Saya dah tak larat kerana terlalu lama berada dalam air. Masa tu rakan-rakan dah mula nangis sebab memikirkan saya tak dapat diselamatkan. Mereka cuba telefon pihak bomba tetapi gagal kerana tak tahu cara hubungi talian kecemasan.

“Bagaimanapun, mereka bergegas mendapatkan bantuan orang awam kerana lokasi sungai berada dalam hutan yang mana tiada siapa perasan kejadian itu. Sebaik orang awam tiba, salah seorang daripada mereka terus menghubungi bomba dan tak lama kemudian bantuan pun tiba,” katanya.

Mohd. Hafiz berkata, pihak bomba cuba membawa dia keluar menggunakan dahan pokok kelapa namun tidak berjaya sebelum salah seorang anggota turun ke sungai dan menariknya ke dasar.

“Saya bersyukur dan mengambil pengajaran atas apa yang berlaku. Saya anggap pihak bomba yang datang ke lokasi kejadian adalah hero saya sampai bila-bila,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farizan Mokhtar berkata, seramai tiga anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.19 petang

“Kebetulan ketika kejadian, semua anggota bomba yang bertugas tiada di balai berikutan keluar operasi. Justeru, kita berhadapan kesulitan dan terpaksa memanggil anggota yang sedang bercuti.

“Mangsa berjaya diselamatkan dan operasi tamat pada pukul 5.25 petang,” katanya ketika dihubungi. – K! ONLINE.