fbpx

Metamorphosis Skills labur RM15 juta bina hospital swasta di Putrajaya

  • Oleh KOSMO!
  • 5 Ogos 2020, 8:21 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

KUALA LUMPUR – Metamorphosis Skills Sdn. Bhd. (Metamorphosis Skills) melabur RM15 juta untuk membangunkan sebuah Hospital Metamorphosis Azalea menjelang akhir tahun ini.

Presidennya, Razalif Mohd. Zain berkata, hospital swasta pertama yang terletak di Putrajaya itu dijangka bernilai RM15 juta.

Menurut beliau, hospital berkenaan akan menyediakan kepakaran dalam bidang pakar sakit puan dan perbidanan (Obstetrik dan Ginekologi), pakar sakit tuan (Andrologist & Urology) dan juga pakar kanak-kanak (Pediatrik).

“Syarikat sedang menunggu lawatan akhir daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tertangguh sejak Mac lalu gara-gara penularan wabak Covid-19.

“Kami berkeyakinan bahawa hospital baharu ini akan beroperasi seawal Oktober atau pun selewat-lewatnya pada awal tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Razalif menjelaskan, Hospital Metamorphosis Azalea yang berkonsepkan resort itu akan memiliki 20 bilik dengan kapasiti sebanyak 20 katil.

“Hospital tersebut bakal menawarkan pengalaman menarik dan mendamaikan kepada para pelanggan dan pengunjung kerana konsep resort itu kerana berlatar belakang tasik di bilik-bilik terpilih.

“Kami akan menyediakan dua pakej rawatan iaitu harga mampu milik bagi semua golongan masyarakat dan harga premium bagi bilik jenis suite.

“Kami menyasarkan semua lapisan masyarakat apatah lagi Putrajaya adalah kawasan kakitangan kerajaan yang kebanyakan berkemampuan,” katanya.
Metamorphosis Skills merupakan syarikat milik bumiputera pertama yang terlibat dalam perniagaan pembuatan sarung tangan getah asli dan kondom dengan pengambilalihan kilang milik SSN Medical Products Sdn. Bhd. di Balakong, Selangor.

Kilang tersebut telah dijenamakan semula menjadi Metamorphosis Medical Products (MMP) dengan jenama rangkaian produk dikenali sebagai Meta.

Ketika ini, syarikat terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan iaitu menjalankan syarikat produksi, pengurusan acara dan perniagaan makanan sejuk beku.