fbpx

Cheng Hoe fokus kelayakan Piala Dunia 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE menyifatkan penangguhan kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 sebagai sesuatu yang positif buat skuad Harimau Malaya.

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menerima keputusan penangguhan Pia­la Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2020 ke tahun depan dengan tangan terbuka kerana dianggap situasi menang-menang buat semua negara.

Menurut Cheng Hoe, penangguhan itu tidak menjejaskan pe­rancangan yang telah dilakukan untuk skuad bola sepak negara, malah barisan pemain kini boleh menumpukan perhatian penuh untuk menamatkan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Saya anggap ia adalah keputusan positif untuk menangguhkan Piala AFF Suzuki tahun ini memandangkan pandemik Covid-19 di rantau ini juga belum reda. Saya pasti semua negara Asia Tenggara terjejas dan tidak bersedia untuk penganjuran itu diteruskan.

“Oleh itu, barisan pemain negara juga boleh memberi fokus sepenuhnya untuk mengharungi baki tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada Oktober dan November depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe percaya keputusan itu dijangka dapat memberikan lebih ba­nyak masa buat barisan pemain negara mendapatkan rehat yang cukup selepas bekerja keras mengharungi sambungan aksi Liga Malaysia (Liga M) bulan depan.

“Jadual pemain agak padat kerana saingan Liga M akan kembali pada bulan depan sebelum beraksi pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang ­berakhir pada November.

“Jika saingan Piala AFF Suzuki dilangsungkan pada Disember, mungkin mereka tidak mempunyai rehat yang cukup sehingga penghujung tahun sekali gus menyaksikan risiko mereka mengalami kecederaan agak tinggi,” katanya.

Sebagai rekod, hasil mesyua­rat AFF yang berlangsung pada Isnin lepas, kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 hampir pasti ditangguhkan ke tahun depan susulan penularan pandemik Covid-19 yang masih belum reda di rantau Asia Tenggara.

Skuad Harimau Malaya sebelum ini muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018 selepas tewas 2-3 kepada Vietnam di pentas final. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI