fbpx

Azlan Typewriter sokong artis muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZLAN tidak kisah bergabung dengan penyanyi baharu

MESKIPUN menjadi antara penyanyi berbakat besar dan berada pada tahap tersendiri, Azlan Typewriter tidak meletakkan sebarang syarat umum dalam berkarya.
Sebagai antara penyanyi senior yang disegani, dia sentiasa mengamalkan konsep buka pintu kepada sesiapa sahaja untuk berkarya termasuklah daripada golongan artis baharu.

Sikap terbukanya membawa kepada kerjasama dengan pendatang baharu Yonnyboii menerusi lagu Kelabu ciptaan asal penyanyi muda itu yang dilancarkan pada Jun lalu.
Kata Azlan, 38, dia tertarik dengan keunikan Yonnyboii selain mengagumi bakat dimiliki penyanyi berusia 22 tahun itu.
Ikuti kupasannya bersama pemilik nama lengkap Nor Azlan Rosle ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Kelabu di Universal Music Malaysia baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan sebab Azlan bersetuju untuk berduet dengan Yonnyboii?
AZLAN TYPEWRITER: Keunikan dalam diri dia. Apa yang saya nampak pada Yonnyboii, penulisannya jujur. Hakikatnya, kita perlu mencari gabungan yang unik untuk menghasilkan karya terbaik. Kalau sama sahaja, tiada yang unik. Dalam lagu Kelabu, peminat menyaksikan gabungan nyanyian saya dengan genre Yonnyboii iaitu R&B hip-hop. Kalau saya guru bahasa Melayu, saya akan beri markah tinggi untuk penulisan lagu Kelabu. Lirik lagu itu antara faktor saya menerima tawaran ini.

Dalam lagu berkenaan, buat pertama kali Azlan tidak menjerit atau bernyanyi dengan nada tinggi. Boleh komen?
Betul, ini kali pertama peminat melihat saya tidak menjerit (ketawa). Tujuannya supaya arah tuju lagu itu tidak tergelincir. Kalau masukkan bahagian bernada tinggi, tidak sesuai sebab akan ganggu elemen asli lagu tersebut. Saya hormat karya Yonnyboii, walaupun dia sangat muda tetapi tidak bermakna saya boleh langgar apa sahaja. Itu karya dia, jadi perlu ikut arah tuju lagu itu.

Apa yang anda nampak pada diri Yonnyboii?
Sewaktu mendengar lagu Sakit nyanyiannya bersama Zynakal, saya tahu dia seorang yang luar biasa. Bakatnya besar dan dia ada sesuatu yang perlu ditonjolkan. Dia ada bunyi dan identiti muzik tersendiri. Selepas mendengar demo lagu Kelabu, tidak banyak yang perlu diubah. Dia hadir dengan pakej lengkap. Karyanya ada kualiti yang bagus, jadi kenapa tidak sokong.

Azlan sendiri ada berkongsi tip kepada bakat muda seperti Yonnyboii?
Secara umumnya tiada tetapi saya banyak berkongsi perkara asas dalam muzik. Sebab kalau mahu diajak berbicara tentang teknik pemasaran dan sebagainya, mereka lebih arif. Orang lama macam saya masih tersekat dalam Instagram, tetapi mereka sudah ke TikTok. Secara tidak langsung, situasi itu membuatkan saya perlu belajar dan sesuaikan diri dengan dunia teknologi masa kini.

Sebagai orang lama, adakah anda melihat sukar untuk mencari pelapis baharu dalam industri?
Sebenarnya tidak susah pun tetapi selalunya bakat baharu akan muncul dengan sendiri. Cuma cepat atau lambat sahaja kedatangan mereka dalam industri. Contohnya macam Yonnyboii, kemunculannya beri impak besar. Dari situ kita boleh lihat minat dan cintanya terhadap seni sangat kuat. Jika kita lihat di luar sana banyak program televisyen membabitkan bakat muda, tetapi persoalannya ke mana mereka sekarang? Sebenarnya minat lebih penting daripada segalanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN