fbpx

K2

Sistem automasi bantu mudahkan tugas di ladang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANICKAVASAGAM berjaya meraih pendapatan sehingga RM8,000 setiap kali penuaian tembikai wangi.- Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI

SEGAK berbaju kemeja, berseluar pejabat serta berkasut kulit, lelaki berusia 60 tahun itu melangkah gagah menuju ke ladang tembikai wangi (rock melon) di kawasan parkir, Plaza Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Sebaik tiba di ladang, P. Manickavasagam terus meneliti skrin telefon pintarnya untuk menyukat isipadu air di dalam tangki. Dia kemudian bergerak ke pusat kawalan elektrik yang menempatkan kotak putih bersaiz kecil untuk menyelaraskan jumlah pemberian cecair baja di dalam paip-paip di ladangnya.

Hanya meluangkan masa selama 15 minit di kawasan parkir itu, Manickavasagam kemudian berlalu pergi selepas meneliti tumbesaran pokok dan memastikan tiada serangan serangga perosak.

Itulah rutin harian lelaki berasal dari Pandamaran, Klang itu sejak sedekad lalu setiap kali melawat ladang tanaman tembikai wangi pada sebelah pagi dan petang.

“Sebagai petani pada era moden, saya menguruskan ladang seluas 30.48 x 60.96 meter (m) ini dengan hanya menggunakan sebuah telefon pintar dan kemudahan internet.

“Saya tidak perlu lagi bersusah-susah mencangkul tanah, memberi baja, menyembur racun atau menyiram air dengan kudrat sendiri. Semuanya di hujung jari,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Manickavasagam yang juga merupakan pemilik Kolej Vis Mechatronic berjaya mengubah kawasan parkir di aras atas atau tingkat empat bangunan itu menjadi ladang tembikai wangi.

Dia berjaya menanam 3,600 pokok tembikai wangi di kawasan parkir kereta berkenaan tanpa sumber tanah.Daripada jumlah itu, 3,200 pokok ditanam secara hidroponik, manakala selebihnya kaedah fertagasi.

Hidroponik adalah kaedah bercucuk tanam dengan meletakkan akar pohon ke dalam air baja (nutrien) tanpa menggunakan tanah. Fertigasi pula kaedah pemberian baja melalui sistem pengairan titis.

Menerusi kedua-dua kaedah penanaman tersebut, Manickavasagam berjaya meraih pendapatan lumayan iaitu antara RM7,000 hingga RM8,000 setiap kali tuaian. Waktu tuaian tembikai wangi adalah setiap 75 hari selepas pokok ditanam.

LADANG tembikai wangi yang diusahakan Manickavasagam di tempat parkir Plaza Sri Muda, Shah Alam, Selangor ini menggunakan kaedah hidroponik dan fertigasi.

Setiap pokok dihadkan pengeluaran antara satu atau dua biji dengan berat antara lebih 1.5 kilogram (kg) hingga 2 kg. Setiap 1 kg buah gred A dijual dengan harga RM4 kepada pemborong dan selebihnya dijual ke pasar raya di sekitar Lembah Klang.

“Ramai tidak tahu banyak kelebihan menanam tembikai wangi di kawasan parkir ini. Di atas ini, tidak ada masalah rumput dan serangan serangga juga kurang. Lagipun tanaman ini memang memerlukan kawasan panas dan berangin,” ujarnya.

Kongsinya, idea penanaman tembikai wangi di parkir tercetus apabila melihat tempat letak kereta berkenaan tidak digunakan dan terbiar.

Justeru, Manickavasagam telah memohon kepada pihak pengurusan bangunan untuk menyewa tapak parkir berkenaan dengan harga RM600 sebulan.

“Kolej saya terletak di aras tiga bangunan ini juga. Apabila tengok kawasan parkir ini tidak digunakan. saya kemudian minta kepada pihak pengurusan untuk menyewa tapak ini bagi penanaman tembikai wangi.

“Pada mulanya, ladang ini dibuka untuk pembelajaran para pelajar saya. Namun, tidak sangka pula ia kekal selama 10 tahun dan hasilnya juga lumayan,” ujarnya.

Memandangkan tempat parkir berkenaan tidak bertanah, Manickavasagam memanfaatkan sepenuhnya kemahiran mekatroniknya dengan mengadakan penanaman berasaskan teknologi hidroponik dan fertigasi.

Menerusi kaedah hidroponik Manickavasagam menggunakan 48 batang paip dengan setiap paip sepanjang 6.09 m, manakala fertigasi pula ditanam di dalam polibeg yang mengandungi sabut kelapa.

Kedua-dua kaedah tersebut dilengkapi sistem automasi bagi mengawal campuran air dan baja di dalam tangki air. Sistem itu membolehkan jumlah air campuran baja serta kekerapan saliran dikawal dengan mudah hanya menerusi telefon pintar.

“Sistem ini saya buat sendiri hasil pengalaman sebagai jurutera selama 17 tahun. Saya pasang kotak fius dan tetapkan di dalam komputer waktu air dan baja perlu disalurkan kepada pokok. Setiap dua jam, air akan mengalir menerusi paip yang ditanam dekat pokok-pokok ini,” katanya.

Menerusinya, Manickavasagam dapat menjimatkan tenaga kerana kerja-kerja memantau pokok tidak perlu dilakukan pada setiap masa.

Selain menjimatkan tenaga kerja, teknologi itu juga membantu mengelakkan pembaziran air dan baja sehingga menyebabkan kerugian.

Tegasnya, pemberian air dan baja melalui automasi lebih tepat kerana ia disukat oleh komputer berbanding sukatan dilakukan manusia.

Seperti tanaman lain, penanaman tembikai wangi juga mempunyai cabaran tersendiri. Menurutnya, halangan terbesar tanaman ini adalah tumbesaran pokok terbantut.

Maklumnya, setiap 1,500 pokok yang ditanam, dianggarkan 100 hingga 200 pokok tidak membesar seperti yang dikehendaki sekali gus menyebabkan hasil berkurang.

Manickavasagam boleh berbangga apabila model ladang yang diusahakannya berjaya menarik minat Jabatan Pertanian Malaysia.

Dia telah dijemput untuk memberi penerangan dalam forum berkaitan pertanian selain menerima kunjungan daripada para petani dari seluruh negara.

“Semua orang boleh menggabungkan antara teknologi dengan pertanian, tidak semestinya perlu ada kemahiran mekatronik seperti saya sahaja untuk melakukannya. Lagipun, teknologi yang digunakannya tidak terlalu kompleks,” ujarnya.

LADANG tembikai wangi milik Manickavasagam menggunakan sistem automasi sepenuhnya bagi pengairan air dan baja.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI