fbpx

Ikon usahawan muda ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Nasrullah berjaya meraih Anugerah Usahawan Muda Peringkat ASEAN di Kuching tahun lalu.

BERBEKALKAN pengalaman kerja sebagai tukang gunting rambut di sebuah salon terkemuka di ibu negara, Muhammad Nasrullah Yahya memberanikan diri terjun dalam dunia perniagaan pada tahun 2010.

Lelaki berusia 31 tahun itu bermula dengan mengambil alih perniagaan kedai gunting rambut bapa saudaranya yang terletak di Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan.

Ketika itu, kedai gunting rambut tersebut hanya berdindingkan kayu dan beratapkan asbestos sebelum Muhammad Nasrullah memberi nafas baharu supaya kelihatan lebih moden.

Berbekalkan modal RM15,000 yang dipinjam daripada ahli keluarga terdekat, dia menambah baik kedai gunting tersebut terutamanya dari aspek kualiti perkhidmatan, penjenamaan dan keselesaan pelanggan.

Memilih Team C Cut sebagai nama kedai, percaturan Muhammad Nasrullah terjun dalam dunia perniagaan pada usia muda berjaya membuahkan hasil apabila perkhidmatannya mendapat sambutan hebat.

“Sebelum ini, saya pernah bekerja sebagai pendandan rambut di sebuah salon terkemuka yang terletak dalam pusat beli-belah Pavillion, Kuala Lumpur selama setahun.

“Dengan pengalaman itu, saya diberi kepercayaan keluarga untuk mengambil alih kedai gunting rambut diusahakan bapa saudara secara kecil-kecilan.

“Pada usia sangat muda ketika itu, sukar bagi pihak bank meluluskan sebarang pinjaman. Jadi, saya terpaksa meminjam daripada keluarga untuk dijadikan modal perniagaan,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.

Selepas sedekad berlalu, bapa kepada seorang cahaya mata itu boleh berbangga apabila berjaya membuka empat lagi cawangan kedai Team C Cut di sekitar Negeri Sembilan.

Keseluruhan lima cawangan kedai gunting Team C Cut terletak di Ampangan, Kampung Panchor, Garden Homes Seremban 2, Nusari Biz Bandar Sri Sendayan dan Mercato Enstek dengan jumlah pekerja seramai 36 orang.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan Team C Cut adalah gunting rambut lelaki dan wanita, pendandanan rambut, melurus rambut, menyambung rambut, pengeritingan rambut dan mewarna rambut.

PERNIAGAAN salon rambut Team C Cut kian berkembang di Negeri Sembilan.

Penat lelah Muhammad Nasrullah sebagai usahawan terbalas apabila dia berjaya memperoleh Anugerah Usahawan Muda Peringkat ASEAN (Asia Tenggara) pada tahun lalu yang berlangsung di Kuching, Sarawak.

Kejayaan tersebut menjadi motivasi kepada Muhammad Nasrullah untuk terus berusaha memajukan dan meluaskan peniagaannya ke peringkat lebih tinggi.

“Saya tidak pernah mengimpikan untuk mengecapi sebarang pengiktirafan. Saya hanya menjalankan tugas seperti biasa bagi memenuhi keperluan pelanggan,” katanya.
Muhammad Nasrullah mendedahkan, kemahiran menggunting rambut banyak diperoleh sewaktu melanjutkan pengajian peringkat Sijil Kemahiran dalam jurusan Seni Reka Dandanan Rambut di Giat Mara Ampang Jaya, Selangor.

“Saya hanya berkelulusan sijil daripada Giat Mara. Di situlah saya belajar teknik menggunting rambut dan sedikit ilmu berkaitan keusahawanan,” terangnya.

Sebagai seorang usahawan, Muhammad Nasrullah tidak lari daripada menghadapi cabaran dan tekanan dalam perniagaan dari semasa ke semasa.

Antara cabaran yang terpaksa diharungi termasuklah prestasi jualan tidak menentu, memberi kepuasan kepada pelanggan dan menyelaraskan tahap kemahiran pekerja baharu.

“Kita lihat semakin banyak kedai gunting rambut dibuka dengan menawarkan perkhidmatan gunting rambut profesional. Persaingan dalam industri ini sangat sengit.

“Situasi ini memberi cabaran kepada kami untuk terus berusaha bagi mendapatkan kepercayaan dan kepuasan pelanggan dengan hasil kerja yang dilakukan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN