fbpx

Sharnaaz, Nabila profesional demi anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERGOLAKAN rumah tangga pelakon Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila Mohd. Noor yang bermula sejak lebih setahun lalu akhirnya menemui titik noktah pada 9 Julai lalu selepas mereka disahkan bercerai secara hakam.

Keputusan tersebut seperti sudah ditebak Sharnaaz, 35, kerana dia sendiri mengakui menerima apa sahaja keputusan mahkamah membabitkan rumah tangganya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagi Sharnaaz, dia tidak memerlukan perkara lain untuk bahagia kecuali satu nama yang mampu membuatkan dunianya sudah lengkap, si matahari kecil, Jebat Jayden Ahmad.

“Jodoh itu rahsia Allah. Mungkin ini takdir. Tiada siapa yang mahu perkahwinan mereka berakhir dengan perpisahan. Tetapi kami sebagai manusia cuma mampu merancang, Allah jua yang menentukan.

“Saya tiada apa-apa dendam terhadap Nabila. Mungkin saya bukan seorang suami yang baik dan bagus. Namun, satu perkara yang saya akan pegang sampai bila-bila, saya tidak akan berhenti jadi seorang bapa kepada Jebat Jayden,” ujarnya menerusi hantaran rakaman video dalam Instagramnya beberapa hari lalu.

Kongsi aktor filem Juvana itu lagi, Nabila dan dirinya berkongsi keutamaan yang sama iaitu untuk menjadi ibu dan bapa terbaik untuk membesarkan anak mereka.

Meskipun terpisah sebagai suami isteri, namun Sharnaaz bersyukur kerana mendapat pelepasan daripada Nabila untuk bertemu dengan permata hatinya itu pada bila-bila masa.

“Apa yang penting, kami tidak bergaduh, malah dia beri pelepasan untuk saya bersama Jebat pada bila-bila masa. Jadi saya ambil peluang yang ada depan mata untuk jalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa,” ujar Sharnaaz yang sanggup meluangkan masa sebanyak tiga kali dalam sehari untuk menjenguk Jebat.

Sharnaaz dan Nabila mahu memastikan perceraian mereka tidak menjejaskan emosi Jebat.

 

Melengkapi hidup

Pernah hadir sebagai suri bagi melengkapi hidupnya suatu ketika dahulu dan kini berubah status kepada rakan baik, Sharnaaz tidak pernah melupakan segala jasa baik Nabila dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ibu.

“Selama ini, saya lihat Jebat dibesarkan dengan sempurna. Itu tidak boleh dinafikan. Nabila juga mengiktiraf saya sebagai bapa Jebat, itu sudah cukup.
“Jika dia tidak mengiktiraf hubungan kami, itu tolak ke tepi sebab Jebat tiada kena mengena dalam hal ini.

“Terima kasih untuk Nabila selama beberapa tahun kami bersama. Terima kasih untuk segala memori. Sekarang masanya untuk buka buku baharu,” kata Sharnaaz yang mengakui tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti buat masa ini.

Sementara itu Nabila turut menerima keputusan perceraian dengan hati terbuka dan akur terhadap ketentuan Ilahi meskipun tidak pernah terfikir jodoh mereka sesingkat ini.
“Saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan hubungan kami baik.

“Kami anggap jodoh tidak panjang. Mana ada orang yang berkahwin hendak bercerai,” katanya.

Bersependapat dengan bekas suaminya, Nabila enggan Jebat terkesan dengan perpisahan kedua-dua ibu bapa dan mahukan yang terbaik untuk permata hati mereka.

“Sharnaaz seorang ayah yang bagus. Setiap hari dia datang meluangkan masa dengan Jebat. Itu pun sudah cukup membuatkan saya sangat gembira. Siapa lagi yang mahu sayang dia seperti itu jika bukan kami,” ujarnya.

BERITA BERKAITAN