fbpx
Gambar hiasan

Rangka pelan imarah semula masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, umat Islam di seluruh negara tidak dibenarkan untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah termasuk solat Jumaat di masjid.

Biarpun begitu, selari dengan perkembangan semasa dan situasi terkini jangkitan, peraturan tersebut diberi kelonggaran sekitar pertengahan Mei lalu apabila masjid dan surau mula dibuka semula kepada umum yang ingin menunaikan solat berjemaah.

Walaupun kerajaan telah mula membenarkan orang ramai untuk menunaikan solat lima waktu berjemaah di masjid dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tertentu, namun terdapat kekhuatiran bilangan jemaah yang hadir akan berkurangan berikutan sudah terbiasa tidak ke masjid dalam tempoh yang agak lama.

Malah, terdapat juga segelintir individu yang masih bimbang untuk ke masjid ekoran sudah selesa dengan larangan yang dikeluarkan sewaktu PKP dilaksanakan.

Bagi membincangkan lebih lanjut mengenai isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Kosmo! Ahad: Mengimbas apa yang berlaku, rakyat Malaysia diuji dengan wabak Covid-19 sehingga menyebabkan sesetengah ibadah dan kewajipan tidak dapat dilaksanakan seperti biasa. Bagaimana pandangan Dr. mengenai hal ini?

Dr. Luqman: Seperti yang diketahui umum, Covid-19 yang melanda negara lebih empat bulan lalu menyebabkan pergerakan harian individu terbatas apabila larangan-larangan tertentu dilaksanakan bagi menyekat penularan wabak. Salah satu larangan yang dikuatkuasakan adalah penutupan masjid dan surau bagi menunaikan solat berjemaah mahu pun aktiviti keagamaan.

Di Wilayah Persekutuan, hal-hal berkaitan surau dan masjid ini sebenarnya di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang pihak Jawi akan merujuk kepada kami (pejabat Mufti) terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat.

Untuk pengetahuan umum, setiap keputusan yang dilakukan adalah selepas mengambil kira pandangan daripada mufti-mufti di seluruh negara menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Larangan tersebut bukanlah untuk tempoh yang panjang atau selama-lamanya memandangkan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan tamat pada 31 Ogos ini, masjid dan surau boleh dibuka semula untuk tujuan ibadah terutamanya solat Jumaat.

Justeru, selepas ini mana-mana surau yang ingin melaksanakan solat Jumaat boleh membuat permohonan dan Jawi bersama Pejabat Mufti akan turun ke lokasi tersebut bagi melihat kesesuaian sebelum kebenaran diberikan bagi mengurangkan kesesakan di masjid.

Apabila larangan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dikuatkuasakan, ada sesetengah pihak menyifatkan kita seolah-olah lebih takut Covid-19 berbanding Allah. Bagaimana Dr. mendepani pemikiran seperti ini?

Bukan takut, tetapi pendekatan yang diambil adalah bersebab. Kita bagi perumpamaan mudah, individu akan berlari bila melihat singa. Jadi, perkara yang sama berlaku terhadap wabak Covid-19.

Lebih-lebih lagi Covid-19 adalah isu penyakit berbahaya mudah berjangkit yang mana risiko jangkitan sangat tinggi dengan kaedah jangkitan tidak boleh dilihat seperti denggi.

Berbicara mengenai denggi, pelbagai pendekatan boleh dilakukan bagi membendung jangkitan seperti membersih kawasan rumah, membuang air bertakung dan lain-lain, tetapi tidak bagi Covid-19.

Pada saya, bukan soal takut dan ia berbeza sama sekali. Sebaliknya, kita lakukan apa yang disuruh oleh-Nya mengikut hukum syariat. Jadi, individu wajib pandang daripada perspektif tersebut.

Sekarang kita berada di fasa pemulihan dan masyarakat sudah dibenarkan untuk beribadah di masjid secara berperingkat mengikut SOP yang ditetapkan. Apakah pandangan Dr. mengenai perkembangan ini?

Jika melihat kepada peralihan fasa bermula daripada PKP ke Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dan kini PKPP, setiap satu PKP mempunyai SOP berbeza. Jadi, tidak mustahil SOP akan berubah-ubah dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi terkini dan risiko jangkitan wabak kepada umum.

Jika individu boleh patuh kepada penjarakan sosial sejak awal lagi, masjid pasti sudah lama dibuka.
Tetapi pada waktu itu, kita masih belum biasa dengan norma baharu dan penjarakan sosial. Ini memandangkan, rakyat sudah terbiasa dengan solat secara rapat-rapat.

Bagaimanapun, syukur orang ramai kini semakin faham dan dapat membiasakan diri dengan norma baharu dan solat dilakukan mengikut SOP ditetapkan. Apa yang pasti, penjarakan sosial masih perlu dipraktikkan bagi mengelakkan Covid-19 merebak.

 

DR. Luqman mahu umat Islam memahami larangan terhadap sesuatu yang sebelum ini dibolehkan adalah bersebab.

 

Penutupan masjid dan surau selama lebih dua bulan menyebabkan masyarakat sudah selesa ‘menjauhi’ tempat ibadah itu. Bagaimanakah caranya untuk kita menyeru masyarakat supaya kembali mendekati masjid dan surau serta mengimarahkannya?

Di Wilayah Persekutuan, itu merupakan antara agenda yang sedang dibincangkan. Pihak Jawi sedang merangka pelan untuk mengimarahkan semula masjid dan surau. Pelan ini perlu kerana kami khuatir masyarakat sudah terbiasa untuk tidak ke masjid ekoran Covid-19 dan menjadikan ia sebagai satu kebiasaan dalam norma baharu.

Itu merupakan satu kebimbangan dan kita perlu pupuk kesedaran individu dan tarik semula mereka untuk pergi ke masjid. Kita mahu dapatkan kembali momentum masyarakat pergi ke masjid dan mengimarahkannya.

Berdasarkan fiqah, mungkin Dr. boleh kongsikan antara faktor yang membolehkan sesuatu hukum asal berubah? Misalnya, daripada wajib menjadi tidak wajib kerana mungkin ada sesetengah ahli masyarakat masih belum jelas mengenai perkara tersebut?

Mengambil contoh fiqah bagi solat Jumaat, terdapat beberapa keuzuran yang membolehkan individu tidak perlu menunaikannya. Antaranya, keuzuran disebabkan wabak, sakit, peperangan dan banjir yang mana Allah beri keringanan untuk kita agar tidak perlu ke masjid.

Bagi kes Covid-19 pula, wabak tersebut sangat berisiko, pihak berkuasa terpaksa melakukan sekatan untuk tidak melaksanakan solat Jumaat dan berjemaah di masjid atau surau seperti kebiasaan.

Kuantiti jemaah juga dikurangkan dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi.

Dari segi fiqah, terdapat justifikasi yang membolehkan tindakan sebegitu diambil. Bukan mudah untuk menghalang pelaksanaan sesuatu ibadah dan sebagai pihak berkuasa agama, ia diambil kerana tidak mahu risiko jangkitan tersebar.

Bagaimanakah hukum menunaikan solat Jumaat dan berjemaah di masjid pada masa ini selepas ia dibenarkan dengan SOP tertentu? Adakah masih dibolehkan solat berjemaah di rumah?

Hukum asal bagi solat berjemaah di masjid atau surau ialah fardu kifayah, manakala solat Jumaat ialah fardu ain. Hukum itu kekal sampai bila-bila.

Bagaimanapun, ketika PKP dikuatkuasakan, hal ini tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat halangan tertentu.

Selepas PKP, maka, hukum menunaikan solat berjemaah kembali wajib secara fardu kifayah dan solat Jumaat kembali wajib secara fardu ain.

Apabila keadaan sudah pulih, umat Islam lebih digalakkan solat berjemaah di masjid.

 

Sebagai mufti yang baru dilantik, Dr. Luqman akan memastikan amanah yang diberikan kepadanya dilaksanakan sebaik mungkin.

 

Bagaimana Dr. melihat sekiranya ada sesetengah masyarakat yang selepas ini mengambil mudah dan hanya meneruskan apa yang telah dibuat semasa PKP seperti solat di rumah sahaja. Apakah nasihat Dr. kepada golongan ini?

Seperti yang dikatakan tadi, pihak Jawi sedang merangka pelan untuk mengimarahkan masjid dan menarik balik orang ramai daripada keterbiasaan dengan normal baharu akibat pandemik Covid-19.

Biarpun begitu, keuzuran yang diberikan dahulu bergantung kepada situasi semasa. Larangan sewaktu PKP hanya untuk membendung virus itu daripada merebak selaras dengan hukum fiqah.

Sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu, mungkin Dr. ingin sampaikan sesuatu amanat kepada masyarakat Islam?

Masyarakat perlu faham setiap tindakan diambil adalah bagi tujuan keselamatan dan ia dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek.

Justeru, mereka perlu beri kepercayaan penuh kepada kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Sebagai mufti yang baru dilantik, saya akan laksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya.

Saya mohon sokongan daripada semua agensi kerajaan supaya setiap tugas dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan masyarakat dan hukum Islam.

BERITA BERKAITAN