fbpx

Katharsis diabadikan dalam piring hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Search

Album studio ke-12 kumpulan rock legenda tanah air, Search, Katharsis kini diabadikan dalam format piring hitam.

Bagi menjaga kualiti, piring hitam tersebut dicetak secara eksklusif terhad sebanyak 500 unit sahaja untuk pasaran seluruh dunia. 

Katharsis merupakan album terbitan Datuk M Nasir yang mula dipasarkan pada 2017  juga menyaksikan penampilan penuh pemain drum, Pae dalam album Search, sekali gus memberikan kelainan serta nafas baru dari segi bunyi dan persembahan Search.

Selain petikan gitar Kid yang lebih berat dan bertenaga, imej Search yang tampil dengan konsep etnik urban oleh pereka fesyen dan gaya terkenal, Jiman Casablanca memberi album ini kelainan tersendiri.

 

Piring hitam Katharsis kini boleh didapati di kedai-kedai muzik terpilih.

 

Wajib dimiliki

Presiden Pawana Music yang juga Penerbit Eksekutif album ini, Datuk Ahmad Zaharul Annuar berkata, ia adalah album terakhir Amy bersama Search selepas  mengumumkan pengundurannya sebagai penyanyi Search pada penghujung Mac lalu.

“Ini album terakhir Amy bersama Search yang pastinya menerbitkan 1,001 nostalgia buat semua yang mengikuti perkembangan muzik kumpulan ini. Bagi peminat Search, ini koleksi paling istimewa ,” katanya. 

Menurut Ahmad Zaharul, piring hitam atau vinyl tersebut juga menjanjikan alunan bunyi yang lebih padat dan lunak berbanding dalam format cakera padat (CD) yang dikeluarkan sebelum ini. 

“Album ini mengandungi buku lampiran yang memaparkan koleksi gambar-gambar sepanjang kerja pembikinan album dan juga konsert Search dalam kualiti tinggi,” katanya.

Proses penerbitan piring hitam tersebut mula dilakukan di studio terkemuka di Amerika Syarikat iaitu Sterling Sound pada 2018.

Proses mastering pula dilakukan jurutera bunyi terkenal, Ryan Smith yang pernah mengendalikan album artis rock legenda dunia antaranya Ozzy Osbourne, AC/DC dan Coldplay. 

Proses terakhir semua piring hitam,sampul, poster dan ‘booklet’ Katharsis dihasilkan di kilang piring hitam, Disc Makers di New Jersey sebelum dibungkus secara sistematik untuk edaran di Malaysia.

Katharsis The Vinyl yang mula dipasarkan pada 28 Julai  dijual pada harga RM199 di Fenomena Music, Plaza Damas, Kuala Lumpur dan beberapa kedai muzik terpilih serta penjual-penjual dalam talian. K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI