SEPERTI kebanyakan manusia di seluruh dunia, penyanyi dan komposer, Aizat juga tidak terkecuali daripada terkesan dengan wabak Covid-19.
Sebagai anak seni yang kebiasaannya melakukan persembahan disaksikan penonton secara langsung, banyak pengajaran yang diperolehnya sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.
Pelantun lagu Hanya Engkau Yang Mampu itu mendedahkan, disebabkan PKP, banyak perkara dapat dipelajarinya kerana banyak masa terluang di rumah.

IKTIBAR Covid-19, Aizat menjadi lebih sentimental dan menghargai alam sekitar. Baginya, untuk bergaya tidak perlukan jenama mewah, sebaliknya pakaian rekaan kitar semula sudah memadai. – IHSAN WARNER MUSIC MALAYSIA
Pendek kata, daripada sekadar bersantai bersama keluarga, dia juga belajar memasak bahkan ada waktunya, Aizat juga turun padang melakukan perkara mulia membantu golongan memerlukan akibat status ekonomi ‘tersekat’ dek penangan Covid-19, Aizat.
Dia sebenarnya amat bersyukur kerana masih diberi nikmat terus bernafas atas muka bumi yang akuinya sudah semakin tenat.
“Program Netflix semua habis ditonton. Video-video dalam YouTube habis saya godeh. Memasak saya tidaklah hebat sangat tetapi bolehlah sikit-sikit,” canda pemilik nama sebenar Muhammad Aizat Amdan itu ketika ditemui Hib Glam baru-baru ini.
Kembali serius dalam melantunkan bicara, Aizat, 31, berkata: “Saya rasa tiada seorang pun gembira dengan apa yang berlaku sekarang. Pernah satu ketika, sewaktu PKP mula-mula diumumkan, ibu saya bertanya apa yang ingin saya lakukan kalau hanya berkurung di rumah.
“Ketika itu, buat pertama kali, saya terfikir. Betul juga pertanyaan ibu kerana selama ini saya menyanyi di depan orang ramai, namun secara tiba-tiba nikmat itu ditarik.
“Bagaimanapun, apa yang penting adalah nasib orang yang betul-betul memerlukan, yang tiada makanan dan pakaian. Bagaimana mereka meneruskan kehidupan dalam situasi yang masih berlanjutan sehingga sekarang.”

Sehubungan itu, Aizat banyak terlibat dengan aktiviti kemanusiaan bagi membantu golongan yang memerlukan menerusi Mercy Malaysia.
“Biarpun kita berdepan musibah atau sebarang permasalahan, tetapi kalau kita menderma atau ringankan tulang membantu golongan yang susah, rezeki akan datang pada kita. Insya-Allah.
“Waktu susah ialah tempoh terbaik untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Itu matlamat hidup yang saya pegang,” luahnya.
Baju pakai semula
Dalam kalangan wakil media, Aizat sangat dikenali dengan sikap suka berseloroh ketika menjawab sebarang persoalan. Bagaimanapun, saat ditebak dengan projek semasa yang sedang dikerjakannya sewaktu PKP, dia membuka naratif tentang apresiasinya terhadap alam sekitar.
Ujarnya, disebabkan PKP, dia lebih kerap menggayakan pakaian kitar semula. Selain itu, selepas PKP mula dilonggarkan, dia sempat berkunjung ke Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. Satu tempat yang pernah didedikasikan melalui penulisan dalam sebuah lagu dengan judul sama dalam album Urusan Aizat Amdan.
“Selepas PKP dilonggarkan, saya sempat berkunjung ke Sungai Lui. Apa yang boleh saya simpulkan, ramai orang lebih menghargai alam sekitar disebabkan pandemik Covid-19.
“Sempatlah juga saya mandi sungai dan makan durian. Nikmat itu lebih besar selepas satu dunia terpaksa bertarung dengan wabak yang berbahaya ini,” katanya.
Bercerita lanjut, Aizat mendedahkan sepanjang tempoh PKP, dia banyak menggayakan pakaian kitar semula rekaan sahabat baiknya demi menjaga alam sekitar.
“Entah macam mana idea untuk lebih kerap menggayakan pakaian kitar semula muncul ketika PKP. Kawan saya yang banyak menghasilkan pakaian kitar semula untuk saya.
“Sehingga satu tahap, saya tidak mempunyai keinginan untuk menggayakan atau membeli pakaian baharu kerana ingin menjaga alam sekitar.
“Inilah antara hikmah PKP yang berlaku kepada saya. Kini, saya berpendapat untuk bergaya tidak perlu barangan atau pakaian yang mahal,” katanya.

Penyertaan Aizat ke bengkel penulisan muzik di Sweden pada tahun lalu mempertemukan dirinya dengan penyanyi dari Indonesia, Hanin Dhiya yang akhirnya membuahkan penghasilan single duet berjudul Ku Mau.
Ceduk, bengkel
Masuk ke aliran muzik, Aizat yang muncul dengan single duet bersama Bunga berjudul Dup Dup, kini menambah pasangan dalam lagu apabila tampil dengan single duet terbaharu bertajuk Ku Mau bersama penyanyi Indonesia, Hanin Dhiya.
Positif andai disifatkan khalayak bahawa karya terbaharunya itu kedengaran sama dengan beberapa lagu antarabangsa lain atau dalam erti kata lain ‘mencedok’ melodi orang lain, Aizat berkata, dia berpegang pada prinsip ‘muzik itu universal’.
“Sebenarnya saya tidak kisah sekiranya ada peminat beranggapan sedemikian. Muzik itu sendiri universal, Alhamdulillah Ku Mau diterima baik oleh pendengar berdasarkan respons sebelum ini.
“Saya optimis dan positif mengenai dakwaan itu, mungkin kebetulan sahaja,” katanya.
Ku Mau merupakan ciptaan Aizat bersama abangnya, Anas Amdan serta Melanie Wehbe dan Elias Naslin.
Aizat bagaimanapun tidak menafikan ketika penghasilkan Ku Mau, dia ada mengambil inspirasi lagu duet popular Senorita nyanyian Shawn Mendes dan Camila Cabello serta I.F.L.Y (Bazzi).
“Semasa menulis Ku Mau saya ada bayangkan lagu Senorita dan I.F.L.Y, saya mahu hasilkan karya yang kedengaran santai seperti lagu-lagu tersebut. Kalau ada yang kedengaran sama, mungkin kebetulan,” ujarnya.
Berbicara lanjut mengenai pasangan duetnya Hanin Dhiya, mereka sebenarnya berkenalan ketika sama-sama menghadiri kem penulisan lagu di Stokholm, Sweden hujung tahun lalu.
Pertemuan membuahkan keserasian dan akhirnya mereka tampil dengan single Ku Mau yang diharap dapat menggembangkan lagi karier nyanyian Aizat di negara seberang.
Ku Mau yang diterbitkan Kasi Gegar Entertainment, diedarkan Warner Music Malaysia kini sudah boleh mula didapati dalam semua aplikasi penstriman muzik seperti Joox, Spotify, iTunes dan KKBox.














