fbpx
Hagia Sophia di Istanbul, Turki bakal menjadi masjid secara rasminya pada hari ini.

Merealisasikan amanat Muhammad Al-Fatih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“INI adalah impian kami sejak kecil. Hagia Sophia telah kembali memenuhi tujuan asalnya. Kami rasa sangat gembira dan bangga.”

Itu luahan Erdal Gencler, penduduk Istanbul, Turki dengan penuh semangat saat binaan bersejarah itu diumumkan menjadi tempat ibadat Muslim semula pada tanggal 10 Julai 2020 oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Gencler antara ratusan rakyat negara dua benua itu yang berkumpul di hadapan Hagia Sophia baru-baru ini bagi meraikan keputusan mahkamah pentadbiran tertinggi Turki, Majlis Negara Turki membatalkan keputusan Kabinet negara tersebut pada tahun 1934 untuk menjadikannya sebagai muzium.

Pembukaan semula binaan berusia 1,400 tahun itu bukan sahaja disambut baik oleh rakyat tempatan, malah ia turut diraikan masyarakat Islam seluruh dunia.

Ketua Parti Jamaati Islami Pakistan, Sirajul Haq berkata, keputusan membuka pintu Hagia Sophia atau nama lainnya Ayasofya kepada umat Islam untuk beribadat meruntun hati setiap Muslim seluruh dunia.

“Hagia Sophia adalah amanat yang ditinggalkan oleh Sultan Muhammad Al-Fatih dan siapa lagi yang lebih layak untuk memikul tanggungjawab besar ini selain daripada Presiden Erdogan?

“Kami mengucapkan tahniah di atas keputusan besar itu yang secara langsung menolak keputusan berat sebelah dilakukan pemerintah sebelum ini berdekad lalu,” tulis Sirajul dalam suratnya yang diutus kepada Erdogan.

Mufti Besar Oman, Ahmed Hamad Al-Khalili turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Erdogan serta masyarakat Muslim seluruh dunia atas pembukaan semula monumen itu sebagai masjid.

“Kami mengucapkan tahniah kepada semua negara Islam seluruh dunia, khususnya kerajaan Turki pimpinan Erdogan kerana menukar semula status Hagia Sophia sebagai tempat beribadat yang membolehkan masyarakat Muslim mengagungkan nama Allah SWT kembali di dalamnya,” katanya.

Simbolik

Mula dibina sekitar tahun 532 Masihi atas arahan Raja Justinian I, Hagia Sophia binaan penting pada zaman kerajaan Byzantine yang menjadi tempat ibadat masyarakat Kristian dan pada masa sama menjadi simbol kekuatan pemerintahan kerajaan ketika itu.

Berfungsi sebagai gereja Ortodoks Yunani selama lebih kurang 900 tahun, binaan itu berubah menjadi masjid apabila empayar Uthmaniyyah berjaya menakluk Konstantinopel yang kini Istanbul pada tahun 1453 sebelum ia dijadikan muzium pada permulaan era kerajaan sekular Turki pimpinan Mustafa Kemal Ataturk.

Kini, fungsinya bertukar semula kepada masjid sekali gus membolehkan umat Islam mengerjakan solat di situ. Bagaimanapun, ia tetap boleh dikunjungi sesiapa sahaja seperti dipraktikkan di

Masjid Sultan Ahmet Camii atau Masjid Biru yang terletak lebih kurang 300 meter dari bangunan ikonik itu.

“Pintu Hagia Sophia akan kekal terbuka kepada pelancong dari seluruh dunia.

“Masyarakat dari seluruh dunia tidak mengira agama dialu-alukan untuk mengunjunginya seperti mana yang berlaku sekarang ini di masjid-masjid lain termasuk Masjid Biru,” kata Pengarah Komunikasi Presiden Turki, Fahrettin Altun.

Penduduk-penduduk Islam Istanbul, Turki meraikan kembalinya status Hagia Sophia sebagai masjid dengan penuh kesyukuran di luar pekarangan binaan itu baru-baru ini. – AFP

Sejurus pengumuman Erdogan tempoh hari, Ayasofya ditutup sementara selama dua minggu dan dibuka secara rasminya pada 24 Julai 2020 (hari ini) dengan mengadakan solat Jumaat pertama di situ selepas 86 tahun sepi daripada sebarang aktiviti pengabdian kepada Yang Maha Esa.

Solat Jumaat pertama itu dilihat amat simbolik dengan peristiwa Muhammad Al-Fatih memerintahkan supaya diadakan solat Jumaat berjemaah kali pertama setelah berjaya menakluk Konstantinople lebih 500 tahun lalu.

Bangunan penyeri lanskap kota antik Istanbul itu juga dikenali sebagai karya agung dalam dunia seni bina dengan menampilkan ciri-ciri binaan dan hiasan dalaman daripada pertembungan dua tamadun berbeza.

Binaan itu menyimpan pelbagai artifak seni bina unik yang dikagumi ramai seperti hiasan jubin-jubin kecil bermotifkan potret pemerintah diraja, lambang keagamaan serta ukiran bunga yang dihasilkan sepanjang penaklukan empayar Byzantine.

Selain itu, seni kaligrafi turut ditambah pada hiasan dalamannya bagi menonjolkan ciri-ciri seni artistik Islam ketika binaan ikonik itu berfungsi sebagai masjid pada era pemerintahan Uthmaniyyah.

Seni kaligrafi yang paling menonjol ialah lapan cakera gergasi diperbuat daripada kayu dengan tulisan nama Allah SWT, Nabi Muhammad SAW, empat khalifah utama serta cucu Rasulullah iaitu Hassan dan Hussein menghiasi tiang di setiap penjuru masjid.

Malangnya, terdapat cubaan untuk menurunkan cakera gergasi tersebut pada zaman pemerintahan Mustafa Kemal, namun usaha itu tidak berjaya berikutan saiznya yang terlalu besar hingga tidak boleh dikeluarkan melalui pintu utama.

Beberapa pengubahsuaian turut dilakukan sepanjang era pemerintahan empayar Uthmaniyyah terhadap struktur Hagia Sophia antaranya pembinaan menara, bilik jam, sekolah, perpustakaan, mimbar dan mihrab.

Walaupun ia bekas gereja dan dipenuhi lukisan serta corak jubin bercirikan agama Kristian, namun sebahagian daripada hiasan tersebut tetap terpelihara hingga ke hari ini.

“Semua hiasan jubin yang penuh bersejarah di Hagia Sophia akan dipelihara seperti mana ia dijaga sejak 500 tahun lalu.

“Perkara utama di sini adalah kita akan pastikan tiada sebarang kerosakan pada jubin, lukisan dan seni bina bangunan ini. Sekarang, kita sedang cuba untuk menutupnya sahaja dengan kain tirai,” kata Jurucakap Presiden Turki, Ibrahim Kalin.

Langkah yang diambil Erdogan untuk menukar kembali fungsi Hagia Sophia daripada muzium kepada masjid itu dikatakan inisiatif awal dalam pembebasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis, Palestin yang dikuasai rejim Zionis Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN