fbpx

Pembantu perubatan didakwa tumbuk kepala isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafifi Fikri diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret di sini selepas dibenarkan diikat jamin atas dakwaan menumbuk kepala isteri yang juga merupakan seorang pegawai perubatan. Foto oleh Diyanatul Atiqah Zakarya

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Seorang pembantu perubatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk kepala isterinya pada bulan lalu.

Tertuduh, Hafifi Fikri Jamal, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menumbuk kepala isterinya, Nadia Zaharah Azmi, 31, yang juga merupakan seorang pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan di sini.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 7 petang di sebuah rumah di Taman Bertam Indah di sini pada 6 Mei lalu.

Difahamkan kejadian itu berpunca dari salah faham selepas mangsa memanggil seorang juruteknik lelaki membaiki kipas dan lampu di rumah mereka tanpa pengetahuannya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal tidak mencadangkan sebarang ikat jamin atas faktor keselamatan mangsa.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan atas alasan perlu menjaga dua orang anak mereka yang masih kecil.

Mahkamah kemudian membenarkn tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,600 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Beliau juga menetapkan tarikh 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI