fbpx

Penduduk Orang Asli berganding bahu baiki jalan balak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk menggunakan pohon kayu hutan untuk membina jambatan sementara.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seramai 40 penduduk kampung Orang Asli di Pos Balar di sini bergotong-royong membaiki laluan jalan balak yang rosak teruk akibat hujan lebat minggu lalu.

Jalan balak bertanah merah merupakan laluan utama penduduk Orang Asli di pedalaman untuk ke bandar Gua Musang sejak lebih 60 tahun lalu.

Penghulu Pos Balar, Alek Busu, 58, berkata, penduduk Orang Asli telah bertungkus-lumus dan sanggup bermalam di dalam hutan untuk membaiki jalan bagi kemudahan mereka sejak tiga hari lalu.

Katanya, menjadi rutin penduduk di kampung berkenaan ketika musim hujan apabila terpaksa membaiki sendiri laluan tersebut.

“Penduduk telah bergotong-royong dengan memotong dan mengangkat 300 batang kayu hutan untuk membina jambatan sementara. Mereka perlu mengerah keringat sendiri selepas tidak tahan motosikal yang dinaiki terbenam di dalam selut.

“Selain membuat jambatan, penduduk juga terpaksa mengambil langkah menutup jalan berlubang dan berselut sejauh 25 kilometer supaya mudah dilalui,” katanya.

Seorang penduduk Orang Asli, Aja Along, 40, berkata, penduduk yang terlibat terpaksa bermalam di kawasan hutan sejak hari Ahad lalu.

Katanya, rantai dan tayar motosikal mereka rosak akibat lumpur setiap kali musim hujan,

“Kita sudah membina empat jambatan kecil bagi mengantikan yang runtuh menggunakan kayu hutan bagi kegunaan sementara laluan motosikal.

“Setakat ini, penduduk kampung sedang berusaha membaiki kerosakan jalan balak walaupun tenaga kami tidak seberapa selain prosesnya begitu sukar,” katanya.

Sementara itu, penduduk yang mengetuai gotong-rotong, Kamal Alek, 36, pula berkata, kebanyakan penduduk yang melakukan gotong-royong itu berumur 12 hingga 45 tahun.

Katanya, pihaknya mengambil inisiatif sendiri membaiki jalan yang menjadi laluan penting untuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan Balar dan bandar Gua Musang.

“Sejak lebih seminggu lalu berlaku hujan di kawasan pedalaman menyebabkan kami terputus hubungan untuk keluar ke bandar.

Jika tiada kesepakatan antara kami, anak-anak penduduk Orang Asli tidak boleh ke sekolah.

“Kami berharap kerajaan dapat menangani masalah jalan yang membelenggu Orang Asli ini dan jangan terus menutup mata,” katanya. K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI