fbpx
TEAM Bosskurr mahu mengembangkan sayap dalam bidang perniagaan sebagai usaha menarik minat generasi muda berbakat terlibat dengan e-Sukan tersebut. – FB Bosskurr

Team Bosskurr sedia lebar empayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUT sahaja Team Bosskurr Gaming (Bosskurr), ia sudah pasti dikenali pemain permainan video di seluruh pelosok tanah air malah pasukan itu menjadi kegilaan generasi baharu susulan popular dengan permainan Mobile Legends dan Player­Unknown’s Battleground (PUBG).

Boskurr yang mempunyai pengikut seramai 219,000 dalam Facebook dan 246,000 dalam Instagram itu mengakui, mereka ketika ini berusaha melebarkan organisasi di seluruh tanah air dan seterusnya mengumpul bakat-bakat terbaik untuk berada bersama pasukan tersebut.

Pasukan yang ditubuhkan pada 1 November 2018 itu awalnya terdiri daripada tujuh pemain, namun kini jumlahnya bertambah hingga lebih 100 ahli berdaftar dan bergiat aktif dalam permainan video di Facebook dan YouTube selain menyertai pertan­dingan dalam serta luar negara.

Pengurus pasukan Bosskurr, Nureddy Nursal atau dikenali Daddyhood yang hadir pada ­majlis pelancaran akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia kelmarin mengakui, mereka tidak lagi fokus kepada e-Sukan semata-mata sebaliknya mahu melebarkan sayap dalam perniagaan.

“Sekarang ini boleh dikatakan Bosskurr mempunyai banyak ahli tetapi semua ini tidak akan hadir tanpa enam orang ahli asal. Mereka ialah Herwin Baharudin (RUSH), Abdul Wandi (LOGAN), Sofian Sultan (PENJAHAT), Andi Alfian (GRIPEX), Ahmad Fuad Razali (FREDO), Faris Zakaria (SOLOZ).

“Kami tetap aktif dalam strim permainan video mobile, namun pada masa sama berusaha melebarkan organisasi ini dengan bergiat dalam perniagaan seperti menghasilkan barang niaga untuk dijual.

“Kami juga mempunyai pe­rancangan untuk membuka konsep kafe di Johor Bahru dan saya sudah melakukan pertemuan dengan pegawai Tourism Johor mengenai idea kami menjadikan Johor salah satu hab e-Sukan.

“Kami dapat maklum balas yang positif daripada Tourism Johor mengenai perkara tersebut. Misi kami cuma satu iaitu mengubah persepsi masyarakat mengenai bidang sukan baharu ini. Kita mahu ubah persepsi itu kerana e-Sukan ketika ini adalah satu karier,” kata Nureddy.

Nureddy juga meletakkan harapan tinggi terhadap industri e-Sukan dan berharap ia akan terus berkembang dari semasa ke semasa.

“Saya harap industri ini terus meningkat supaya ada ruang dan peluang buat anak muda berada di pentas antarabangsa. Rugi jika kita tidak merebut peluang sedangkan e-Sukan terus berkembang pesat di seluruh dunia.

“Bagi anak muda yang ber­jinak-jinak menceburi bidang e-Sukan ini, ia satu perkara yang baik dan kita sedar zaman sudah berubah, jadi kita kena beralih dari satu sisi ke satu sisi,” ujar­nya.

Nureddy berkata, pihaknya turut menyertai kejohanan besar pada tahun ini iaitu Mobile ­Legends MPL-MY/SG Musim Keenam yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$100,000 (RM426,250) dan RM100,000 bagi saingan PUBG Mobile National Championship (PMNC).

“Pada tahun ini kita memang fokus pada dua kejohanan pen­ting seperti PMNC dan MPL-MY/SG. Kita akan hantar dua pasukan bagi setiap kejohanan dan berharap mereka semua mampu melepasi peringkat kelayakan.

“Kami sedar ia bukan satu tugas mudah dan saingan tahun ini pasti sukar dengan kehadiran pasukan baharu. Sukar untuk ramal pasukan terbaik kerana di Malaysia terdapat ramai pemain e-Sukan terbaik.

“Saya harap Team Bosskurr bersedia dan menjuarai kejohanan tersebut. Sasaran kita memang mahu bergelar juara tetapi bergantung kepada rezeki, kalau belum ada rezeki, kena usaha lagi,” kata Nureddy.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN