fbpx

K2

Sanjungan seniman mural buat wira tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUHAIMI bangga dapat mengabadikan wajah Al-Sultan Abdullah dan Dr. Noor Hisham dalam bentuk lukisan potret mural.

DI bawah sinar mentari pagi, seorang pemuda kelihatan menggenggam erat berus cat setelah membuat lakaran di permukaan dinding berwarna putih. Sesekali matanya melirik ke arah telefon bimbit dan tangan yang memegang berus itu pantas mewarnai dinding tersebut dengan warna coklat ‘kulit manusia’.

Kelibat pemuda itu, Muhammad Suhaimi Ali, 27, ‘mengerjakan sesuatu’ di dinding bangunan di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, Selangor terlihat di situ sejak Mac lalu sebelum terhenti seketika berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muhammad Suhaimi bukanlah menconteng dinding di lorong tersebut apatah lagi melakukan vandalisme sesuka hati. Sebaliknya dia sedang menterjemah bakatnya dengan melukis gambar mural insan paling berpengaruh di Malaysia iaitu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pada mulanya dinding di lorong ini menjadi tempat vandalisme oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Dinding-dinding ini diconteng tanpa sebarang motif.

“Kesan vandalisme ini membuatkan mata saya sakit memandangnya. Daripada situ, timbul idea menggunakan bakat yang ada dengan melukis potret wajah Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada K2 ketika ditemui di Shah Alam baru-baru ini.

ANTARA wajah tokoh terkemuka negara yang dilukis dalam bentuk mural tertera di dinding bangunan.

 

Bakat

Muhammad Suhaimi atau mesra disapa sebagai Suhaimi kini mencetuskan kekaguman nasional terhadap bakatnya apabila Al-Sultan Abdullah sendiri berkenan mencemar duli melawat mural gergasi potret wajah baginda di dinding tersebut.

Pada dinding itu turut terlukis wajah-wajah pemimpin negara yang lain iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Wajah Yang di-Pertuan Agong merupakan potret pertama yang dihasilkan pada mural dinding tersebut.

Jelas Suhaimi, dia melukis potret tersebut semasa negara sedang berdepan krisis politik dan dia begitu mengagumi kebijaksanaan baginda menyelesaikan kemelut itu.

Sebagai tanda sanjungan kepada baginda, anak muda dari Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu itu mengambil keputusan untuk mengabadikannya dalam bentuk mural potret.

Suhaimi kemudian meminta izin pemilik premis di lorong tersebut untuk berkarya di situ.

“Alhamdulillah, pemilik kedai itu membenarkan saya melukis mural potret di dindingnya,” katanya.

Berbekalkan bakat melukis luar biasa yang dikurniakan Tuhan buat dirinya, Suhaimi langsung tidak memadam kesan contengan asal pada dinding tersebut terlebih dahulu.

Sebaliknya kesan contengan tersebut dijadikan asas untuk dia membuat grid bagi memudahkannya berkarya.

Sebelum menterjemahkan karya itu di dinding, dia terlebih dahulu melakar wajah potret secara digital di iPad miliknya sebagai panduan sebelum dipindahkan ke telefon bimbit untuk memudahkannya memegang dan membesarkan gambar.

Tambahnya, untuk lukisan mural itu, dia menggunakan warna-warna asas yang kemudian dibancuh bagi mendapatkan warna yang diinginkan.

Suhaimi yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam berkata, dia mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan lukisan mural tersebut berikutan PKP.

Takut dirosakkan

Setelah PKP dikuatkuasakan, dia tidak dapat menyiapkan lukisan potret tersebut sepenuhnya dan terpaksa menangguhkannya selama hampir tiga bulan.

“Saya amat risau pada ketika itu kerana wajah Yang di-Pertuan Agong belum siap sepenuhnya. Saya takut jika ada pihak yang tidak bertanggungjawab merosakkan lukisan mural itu.

“Saya bersyukur selepas PKP fasa pertama ditamatkan, saya dapati lukisan ini tidak diganggu oleh sesiapa dan saya dapat menyelesaikannya,” katanya.

Bagi mural itu, Suhaimi melukis potret Yang di-Pertuan Agong dan Dr. Noor Hisham, manakala potret pemimpin lain dihasilkan oleh dua lagi rakannya, Abdul Hadi Ramli, 27, dan Mohamad Firdaus Nordin, 26.

“Kami berasa semasa PKP dilaksanakan, ramai pemimpin yang langsung tidak kenal erti penat menyampaikan perkembangan terkini tentang penularan pandemik Covid-19.

“Bagi kami, mereka adalah wira. Sebagai tanda terima kasih buat pemimpin-pemimpin ini, kami mengambil keputusan untuk melakar potret mural wajah mereka,” katanya.

Suhaimi dan rakan-rakan menghabiskan wang sendiri sekitar RM500 bagi membeli peralatan melukis dan cat.

Dalam pada itu, Suhaimi menjelaskan, dia tidak menyesal memilih bidang seni lukis sebagai kerjaya walaupun mendapat halangan daripada kedua-dua ibu bapanya.

“Keluarga amat meletakkan harapan tinggi agar saya bekerja dalam sektor kerajaan. Ibu terutamanya mahu saya menjadi seorang guru.

“Saya berminat dalam bidang seni lukis sejak di bangku sekolah,” katanya.

SUHAIMI dan dua rakannya gigih menyiapkan potret mural.

 

Untuk memenuhi hasrat ibunya, pada tahun 2017, dia pernah mengikuti sesi temu duga untuk menjadi guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), namun gagal.

Suhaimi menjelaskan, dia mula serius dalam bidang melukis mural sejak tahun 2016 setelah tamat pengajian di UiTM.

“Bagi saya jalan cerita seseorang itu sudah diatur Tuhan. Saya tidak menyesal menjadikan pelukis mural ini sebagai kerjaya,” katanya yang kini sudah mendapat banyak permintaan melukis mural potret selepas hasil kerjanya tular.

Cerita Suhaimi, ramai yang memintanya melukis mural potret termasuk individu dari Pulau Pinang yang mahu dia melukis potret keluarganya hingga sanggup menyediakan pengangkutan dan tempat tinggal buat Suhaimi.

“Harga yang saya kenakan untuk lukisan mural adalah sekitar RM1,000 hingga RM3,000 bergantung kepada saiz yang hendak dilukis,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI