fbpx

Kembalinya Kosmo! di hati pembaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHAMAD AZLAN JAAFAR
PENGARANG KUMPULAN MEDIA MULIA

 

AKHBAR Kosmo! kembali hari ini selepas lebih sembilan bulan berehat. Pelancaran semula di bawah kendalian Media Mulia Sdn. Bhd. adalah detik penting kepada Kosmo! yang mempunyai puluhan ribu pengikut setia sejak ia dilancarkan pada 2004.

Kepada semua pembaca yang berterusan memberikan sokongan kepada akhbar ini selama 16 tahun, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih. Saya berharap sokongan ini akan berterusan dengan penerbitan bermula edisi pertama Kosmo! baharu hari ini. 

Kosmo! dan Kosmo! Ahad mengekalkan slogan Suara Kontemporari yang telah diterima pembaca selama ini. Dalam era digital dan kepantasan maklumat, pembaharuan perlu bagi memenuhi kehendak dan selera pembaca. Evolusi dan perubahan adalah pasti. Tiada yang statik.

Begitu juga maklumat. Pembaca senantiasa mahukan yang baharu, yang relevan kepada kemahuan naluri masing-masing terutama kandungan yang menjadikan pengikut akhbar ini arif mengenai situasi semasa.

Maklumat yang benar dan relevan di era digital adalah raja terutama dengan ledakan berita palsu serta pengkongsian tanpa pengesahan fakta.

Kosmo! mengekalkan ciri-ciri yang menjadikan ia akhbar pilihan selama ini. Pada masa sama ia menggabungkan pelbagai elemen baharu bagi memupuk kecenderungan membaca terutama dalam kalangan golongan muda seperti e-sukan dan permotoran.

Banyak lagi pembaharuan diperkenalkan dalam edisi Kosmo! setiap hari. Peningkatan berterusan juga akan dilakukan bagi memastikan akhbar ini kekal relevan kepada pembaca segenap peringkat masyarakat di seluruh negara.

Kandungan setempat, sukan dan luar negara yang mempopularkan akhbar ini dipertingkatkan. Apa yang akan meletakkan Kosmo! di hadapan ialah laporan eksklusif mengenai pelbagai isu.

Kejayaan sesebuah akhbar bergantung kepada kredibiliti dan kualiti laporan. Tiada akhbar akan kekal tanpa kredibiliti.

Walaupun dilihat sebagai akhbar kompak, Kosmo! mengekalkan standard kewartawanan tertinggi yang diharapkan bagi semua akhbar di syarikat Media Mulia. Integriti, profesionalisme dan kebertanggungjawaban menjadi nilai-nilai dan panduan pemberitaan akhbar Kosmo!, sama seperti akhbar kembarnya Utusan Malaysia.

Apa yang lebih penting, pengenalan akhbar Kosmo! adalah bukti bahawa masih ada hayat dalam industri persuratkhabaran di negara ini walaupun dihimpit pengaruh digital. Apa yang penting adalah kandungan.

Pengisian yang relevan kepada kehendak pembaca akan memastikan kelangsungan jenama Kosmo!. Kami berharap pembaca akan terus memberi sokongan kepada akhbar ini dan menjadikannya penerbitan ulung di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN