fbpx

Indonesia penjarakan dua pemimpin kanan JI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASKAR Indonesia mengawal kawasan behampiran memorial pengeboman Bali 2002 di Denpasar, Pulau Bali pada 31 Disember 2009. - AFP

JAKARTA – Indonesia hari ini (20/7/2020) memenjarakan dua pemimpin kanan Jemaah Islamiyah (JI) yang mendalangi kumpulan pelampau bertanggungjawab ke atas pengeboman di Bali pada tahun 2002.

Ketua JI, Para Wijayanto dan timbalannya, Budi Trikaryanto didakwa kerana melakukan jenayah keganasan seperti menghantar militan untuk berperang di Syria.

Para dan Budi masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam setengah tahun di sebuah mahkamah di Jakarta selepas perbicaraan yang diadakan menerusi sidang video berikutan kebimbangan mengenai koronavirus.

“Tertuduh mempersiapkan kadet untuk pergi ke Syria di samping memberikan bantuan kewangan kepada mereka semasa melakukan misi,” kata Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Timur , Alex Adam.

Mahkamah tersebut menyatakan bahawa Para, 56, mengetuai JI pada tahun 2009. Dia merekrut warga Indonesia untuk berperang dan berlatih dengan kumpulan-kumpulan pelampau termasuk organisasi berkaitan Al-Qaeda yang menentang pemimpin Syria, Bashar Al-Assad antara tahun 2012 hingga 2018.

Selain itu, mereka turut dituduh menyertai pertubuhan yang diharamkan oleh pemerintah Indonesia.

Jakarta mengharamkan JI dalam tahun 2008 dan membanteras rangkaian militan tersebut ketika Indonesia bergelut dengan siri serangan pelampau.

JI ditenggelamkan oleh kemunculan kumpulan-kumpulan militan yang setia kepada pergerakan Daesh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, menurut pakar-pakar keselamatan, organisasi itu yang satu ketika dahulu sinonim dengan keganasan di Indonesia, sudah mula membina semula keanggotaannya.

Pengeboman di daerah hiburan di Bali pada 2002 yang meragut lebih 200 nyawa kekal sebagai serangan militan paling berdarah ke atas Indonesia.

Kebanyakan mangsa ialah pelancong asing yang berasal dari lebih 20 negara tetapi Australia mengalami kehilangan terbesar dengan 88 kematian. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN