Leeds United kembali gegar Liga Perdana Inggeris
LONDON – Selepas 16 tahun mencuba, Leeds United kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan selepas pencabar Liga Kejuaraan, West Bromwich Albion tewas 1-2 kepada Huddersfield awal pagi tadi.
Skuad kendalian Marcelo Bielsa itu memastikan tempat ke EPL lebih awal memandangkan kekalahan yang dialami West Brom memastikan Leeds secara automatik berada dalam kelompok dua teratas.
Selain itu, Leeds juga dilihat hampir pasti untuk menjuarai Liga Kejuaraan apabila menerajui saingan dengan 87 mata, lima mata mengatasi West Brom di tangga kedua.
“Kami sudah kembali. Leeds United kini adalah pasukan Liga Perdana Inggeris,” kata kelab berkenaan menerusi laman Twitter rasmi.

Dalam pada itu, kapten skuad The Peacocks, Liam Cooper nyata tidak dapat membendung kegembiraannya selain menghamburkan pujian terhadap rakan-rakan sepasukan.
“Amat sukar dipercayai dan saya rasakan seperti mimpi. Pemain serta penyokong sudah banyak berkorban untuk kelab tercinta ini. Selama 16 tahun kami berjuang untuk ke Liga Perdana.
“Sesuatu yang sungguh menakjubkan untuk mengetuai pasukan ini kembali ke tempat asal. Kami memang berhak kerana semua pemain sudah menampilkan aksi terbaik sepanjang musim,” ujar Cooper.
Saingan EPL musim depan pastinya lebih menarik memandangkan Leeds sedia memperbaharui perseteruan dengan Manchester United dan Chelsea. – AGENSI