CANBERRA – Parlimen Australia akan digantung dua minggu kerana kebimbangan ahli-ahli politik mungkin menyebarkan koronavirus dari titik-titik panas epidemik ke ibu negara berkenaan, kata Perdana Menteri, Scott Morrison hari ini (18/7/2020).
Penangguhan tersebut diumumkan sehari selepas Canberra selaku bandar kedua terbesar di Australia, merekodkan peningkatan dalam jangkitan Covid-19.
Memetik nasihat perubatan, Morrison berkata, kerajaan tidak boleh memandang ringan risiko wakil rakyat menyebarkan penyakit berbahaya itu ke Canberra.
“Risiko akibat sidang Parlimen adalah tinggi ,” katanya.
Canberra dan kawasan sekitarnya, Wilayah Ibu Negara Australia, berterusan membendung koronavirus seperti negeri-negeri lain di Australia, namun kes Covid-19 terus meningkat di Sydney dan Melbourne.
Pengumuman itu bermakna Parlimen Australia tidak akan bersidang sehingga sekurang-kurangnya 24 Ogos depan selepas disambung semula 8 Jun lepas.
Pada Sabtu lepas, pihak berkuasa negeri Victoria yang mana Melbourne adalah ibu negerinya menyatakan, rantau itu merekodkan lebih 200 kes baharu koronavirus dalam tempoh 24 jam lalu selepas peningkatan sebanyak 438 kes, Jumaat lepas.
“217 adalah lebih baik berbanding angka melebihi 400 tetapi ia adalah angka yang akan mengejutkan kita semua sebulan lalu,” kata ketua pegawai kesihatan negeri Victoria, Brett Sutton.
“Kita perlu ingat bahawa ia masih angka yang tinggi,” tambahnya.
Melbourne kini bergelut dengan lonjakan kes Covid-19 yang menyaksikan lima juta penduduknya kembali dikenakan perintah berkurung.
Wabak itu turut merebak ke bandar terbesar Australia, Sydney, manakala di seluruh negara pula, sebanyak 11,400 kes Covid-19 dilaporkan setakat ini dengan 118 kematian.
Australia mempunyai kira-kira 25 juta penduduk. – AFP