fbpx

Aishwarya masuk wad Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail bertarikh 20 November 2019 menunjukkan Aishwarya dan anak perempuannya ketika menghadiri acara amal di Mumbai. - AFP

MUMBAI – Bintang Bollywood dan bekas ratu cantik Miss World, Aishwarya Rai Bachchan dimasukkan ke sebuah hospital di Mumbai bersama anak perempuannya, Aaradhya, hampir seminggu selepas mereka diberitakan dijangkiti koronavirus.

Suaminya, Abhishek Bachchan dan bapa mentua, Amitabh Bachchan masih dirawat di hospital sama akibat Covid-19.

Pada Ahad lepas, Aishwarya dan Aaradhya, 8,  menjalani kuarantin di rumah tetapi akhbar The Times of India melaporkan bahawa mereka dipindahkan ke Hospital Nanavati semalam (17/10/2020) selepas mengadu sesak nafas.

“Keadaan mereka baik,” kata sumber hospital kepada agensi berita Press Trust of India.

Amitabh Bachchan, 77,  dan anak lelakinya, Abhishek, 44, masih dirawat di wad isolasi hospital berkenaan. Semasa dimasukkan ke hospital tersebut, kedua-duanya dilaporkan mengalami gejala ringan.

Keadaan terkini dua beranak itu belum diketahui tetapi Amitabh kerap memuat naik status di laman Twitter.

“Ketika gembira, ketika sakit, semua yang dekat dan yang kami sayangi, semua yang mendoakan kami dan peminat kami melimpahkan kami dengan kasih sayang,” katanya semalam.

Aishwarya, 46,  memenangi Mahkota Miss World dalam tahun 1994 sebelum muncul antara wajah paling popular di Bollywood. Dia dan Abhishek berkahwin pada 2007.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan menyatakan, Mumbai merekodkan hampir 100,000 kes Covid-19 dengan lebih 1,200 pesakit baharu dilaporkan setiap hari. Lebih 5,582 orang di kota raya itu meninggal dunia akibat virus tersebut.

India yang mempunyai populasi 1.3 bilion pula merekodkan 26,000 kematian akibat koronavirus setakat ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI