fbpx

Pelajar ke Harvard dirai alumni SAMTTAJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD Khanafi (empat dari kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada Mohamed Aqil dan disaksikan ahli jawatankuasa yang lain pada satu majlis di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

KEJAYAAN anak muda, Mohamed Aqil Azmi, 20, terpilih menyambung pelajaran ke Kolej Harvard, sekolah sarjana Universiti Harvard yang terkenal di dunia telah diraikan oleh Persatuan Alumni Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ) dalam satu majlis makan malam di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Persatuan Alumni Sekolah SAMTTAJ (ASSA), Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin, pihaknya berbangga dengan pencapaian Mohamed Aqil yang merupakan bekas pelajar sekolah tersebut dan berharap menjadi inspirasi kepada pelajar lain di seluruh negara.

“Satu kebanggaan kepada persatuan sebab Mohamed Aqil adalah bekas pelajar SAMTTAJ Shah Alam Selangor yang terpilih daripada 40,000 permohonan seluruh dunia. Kejayaan ini
menjadi inspirasi bukan sahaja kepada sekolahnya tetapi juga kepada golongan muda di negara ini.

“Pihak persatuan alumni sekolah meraikannya hari ini kerana ini adalah pertama kali pelajar dari SAMTTAJ dan juga sekolah aliran agama berjaya memasuki universiti berprestij di Amerika Syarikat (AS) itu,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar kepada K2 baru-baru ini.

MOHAMED Aqil menunjukkan sijil penghargaan yang diterima daripada ASSA.

Sementara itu, Mohamed Aqil yang ditemui melahirkan rasa gembira dan terharu dengan penghargaan yang diberikan oleh persatuan alumni sekolahnya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka atas pemberian sumbangan dan sijil penghargaan. Saya berharap kejayaan ini menyuntik motivasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha memasuki universiti terkemuka dunia,” katanya yang
bakal mengikuti jurusan Matematik dan Falsafah.

Selain Mohamed Aqil, seoarang lagi pelajar Malaysia yang terpilih, Zad Chin Qi Qi, pelajar perempuan dari Ipoh, Perak akan mengikuti jurusan Sains Komputer dan Pengajian Sosial.

Mohamed Aqil anak bongsu daripada tiga beradik beroleh 11A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang mengikuti pengajian A- Level di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, Selangor. Bagaimanapun disebabkan pandemik Covid-19, dia dan Zad Chin belajar di rumah mengikuti pengajian secara online. Kedua-duanya mendapat tajaan melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di bawah biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Saya sepatutnya mendaftar masuk ke Harvard pada 31 Ogos depan tetapi belum ada kata putus dari universiti sama ada pengajian diteruskan atau ditangguhkan kerana Covid-19.

“Kini, saya sedang melakukan ulang kaji awal untuk silibus yang bakal saya pelajari di kolej. Saya juga ada menghubungi pelajar yang menuntut di sana untuk lebih mengenali suasana sebenar,” ujarnya yang bercita-cita menjadi penganalisis kewangan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kelab Harvard Malaysia, pada tahun lalu, sebanyak 40,248 permohonan untuk memasuki kelas pengajian Kolej Harvard diterima, namun hanya 1,980 pelajar diterima masuk dengan hanya 10.8 peratus pelajar antarabangsa.

Untuk rekod, kali terakhir pelajar Malaysia diterima masuk ke Kolej Harvard di Massachusetts, AS adalah pada 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI