SHAH ALAM – Seorang lelaki warga Nigeria mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang tahun lalu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Tertuduh, Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Ab. Karim Ab. Rahman.
Berdasarkan pertuduhan, Alowonle didakwa membunuh Siti Kharina Mohd. Kamarudin, 40, di sebuah unit Kondominium Third Avenue, Cyberjaya di sini antara pukul 12.41 pagi, 9 Mei hingga 2.30 petang, 15 Mei tahun lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hazizah Kassim.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan gambar kejadian kepada pihak pembelaan.
Sementara tarikh perbicaraan pula ditetapkan selama enam hari iaitu pada 1, 2, 3, 15, 21 dan 22 September depan.
Kosmo! pada 17 Mei tahun lalu melaporkan misteri kehilangan seorang Ketua Jururawat Hospital Serdang akhirnya terjawab apabila mayat wanita itu ditemui di sebuah kondominium sewa di Cyberjaya dekat sini pada 15 Mei tahun lalu.
Penemuan mayat Siti Kharina terbongkar hasil maklumat orang awam yang melihat darah mengalir keluar dari salah satu pintu kediaman terbabit kira-kira pukul 2.30 petang. – K! ONLINE