fbpx

Spesies ‘predator’ bunuh ikan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ikan baung ekor merah mengganggu ekosistem sungai tempatan.

IPOH – Tindakan sesetengah pengusaha ikan air tawar melepaskan spesies ikan pemangsa seperti ikan keli Afrika, baung dan raja ke sungai untuk bernazar antara punca ikan air tawar tempatan di Perak dikhuatiri pupus.

Pelepasan ikan import yang tidak dibenarkan dan ikan hiasan yang semakin berleluasa kebelakangan ini bukan sahaja membunuh ekosistem sungai malah pendapatan nelayan ikan air tawar atau nelayan darat ini terjejas teruk.

Antara sungai di sekitar bandar raya ini yang terjejas teruk akibat perbuatan pelepasan ikan pemangsa seperti keli Afrika, baung dan raja ialah Sungai Kinta, Sungai Raya dan Sungai Pinji.

Bekas nelayan ikan air tawar di Ipoh, Roshidi Ahmad Ismail, 37, dia terpaksa berhenti daripada melakukan kerja-kerja menangkap ikan memandangkan kebanyakan tangkapannya merupakan ikan keli Afrika yang tiada harga di pasaran.

“Keli afrika ini biasanya dibela di dalam kolam dan dijual dengan harga RM5.50 satu kilogram. Apabila ia dilepaskan ke dalam sungai oleh pihak-pihak tertentu atas apa jua alasan seperti bayar nazar, ia menyebabkan ancaman besar kepada habitat asal di dalamnya.

“Ikan ini mudah membesar dan apabila ia berada di dalam persekitaran sungai kita, ia akan memakan apa sahaja yang berada di dalam sungai tersebut termasuk anak-anak ikan dan udang.” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

 

 

Roshidi berkata, ikan keli Afrika ini tidak lagi mempunyai harga memandangkan isinya yang tidak sedap dimakan apabila sudah besar.

“Ikan-ikan inilah yang mengganggu habitat ikan air tawar di negara kita sejak tahun 90-an lagi. Pelepasan ikan berkenaan oleh pihak-pihak tertentu sehingga mencecah satu tan dengan tujuan bayar nazar ini telah menyebabkan ekosistem di dalam sungai terancam malahan ada yang telah pupus.

“Seingat saya suatu ketika dahulu, nelayan darat di Ipoh ini masih boleh menangkap ikan kelah, udang galah dan loma di tiga sungai ini. Namun kini pelbagai ikan lain seperti talapia, baung, terbul dan sia juga semakin sukar ditangkap,” katanya.

Menurut Roshidi, dia difahamkan sebanyak enam tempat aktif pelepasan ikan pemangsa berkenaan di sekitar Ipoh melibatkan Sungai Kinta, Sungai Pinji dan Sungai Raya.

Katanya, banyak aduan telah dipanjangkan kepada Jabatan Perikanan mengenai perkara ini namun jawapan yang diberikan amat mengecewakan para nelayan.

“Pegawai menyatakan mereka tidak mempunyai kuasa untuk menangkap individu yang melakukan perbuatan melepaskan ikan keli Afrika dan ikan hiasan seperti ikan raja dan bandaraya ke dalam sungai.

“Menurut pegawai tersebut, hanya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai kuasa berdasarkan Seksyen 69 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” jelasnya.

Seksyen 69 akta berkenaan menyentuh mengenai perbuatan kacau ganggu dalam anak sungai, saluran, parit awam atau lain-lain alur air dalam kawasan pihak berkuasa tempatan yang boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN