LONDON – Pengendali Chelsea, Frank Lampard sedar bahawa pasukannya perlu mengambil kesempatan ekoran kegagalan Manchester United memungut mata penuh setelah terikat 2-2 pada aksi kelmarin dalam usaha kekal di kedudukan empat pasukan teratas.
Pada aksi awal pagi tadi, Chelsea berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 menewaskan Norwich City di Stamford Bridge untuk kekal di kedudukan ketiga liga dengan perbezaan empat mata berbanding pencabar terdekat Leicester City dan United.
Ketika United kecewa apabila bolos pada penghujung perlawanan sewaktu menentang Southampton untuk terikat 2-2, Lampard percaya ia memberi kelegaan kepada Chelsea dalam usaha mereka untuk memastikan tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
“Saya tidak bercakap dengan pemain mengenai kelebihan tersebut kerana saya percaya kami perlu fokus dengan baki perlawanan yang ada. Ia tidak boleh membuatkan kami berasa terlalu selesa walaupun pasukan yang menjadi saingan kami terlepas peluang untuk memberi tekanan kepada kami.
“Kami berdepan pasukan yang berada di zon penyingkiran, ia bukan perlawanan yang mudah tetapi para pemain telah memberikan aksi terbaik untuk membolehkan kami menjarakkan kedudukan,” katanya.
Pada aksi tersebut, penggempur Chelsea, Oliver Giroud berjaya menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan sebelum rehat babak pertama untuk membolehkan The Blues meraih tiga mata berharga.
Chelsea bakal berdepan Liverpool pada aksi berikutnya di Anfield ketika skuad bimbingan Jurgen Klopp cuba untuk memecahkan rekod Manchester City dengan meraih 100 mata semusim sebelum kembali ke London berdepan Wolverhampton untuk aksi terakhir. – AGENSI